1MDB jual 60 peratus pegangan Bandar Malaysia kepada konsortium pada RM7.41 bilion

Rahimah Abdullah
Disember 31, 2015 04:06 MYT
Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata konsortium itu telah menilai penuh 100 peratus tanah Bandar Malaysia pada RM12.35 bilion. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengumumkan penjualan 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).
Ia dilaksanakan melalui Perjanjian Jual Beli Saham.
Konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd adalah hasil usahasama 60:40 antara IWH DAN CREC.
Konsortium IWH-CREC telah menilai penuh 100 peratus tanah Bandar Malaysia pada RM12.35 bilion.
Nilai bersamaan 60 peratus tanah adalah RM7.41 bilion.
1MDB akan menerima deposit 10 peratus atau RM741 juta apabila melaksanakan Perjanjian Jual Beli Saham.
Urusniaga ini dijangka lengkap menjelang hujung Jun 2016.
Perjanjian Jual Beli Saham adalah hasil dari Permintaan untuk Saranan (RFP) yang dilancarkan pada Jun lalu oleh penasihat urus niaga , CH Williams Talhar and Wong (WTW).
WTW menerima 40 penyertaan daripada pelabur dalam dan luar negara termasuk dari Singapura, China, Jepun, Korea dan Australia.
Empat pembida telah disenarai pendek pada September lalu dengan dua tawaran akhir, terikat dan diterima pembiayaan pada 9 November 2015.
Bandar Malaysia yang akan dibangunkan dalam tempoh 15 hingga 25 tahun pada unjuran Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM150 bilion dibina sebagai mercu tanda antarabangsa Malaysia yang baru apabila siap kelak.
Ia akan menjadi pembangunan bandar bercampur yang dijangka memangkin transformasi "Greater Kuala Lumpur".
Perjanjian penjualan tanah 1MDB dengan konsortium itu turut menandakan kejayaan besar terakhir dalam rancangan rasionalisasi syarikat itu seperti yang dikemukakan kepada Kabinet pada 29 Mei, 2015.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Arul Kanda #Iskandar Waterfront Holdings IWH