Ianya sudah menjadi pengetahuan umum bahawa ekonomi Malaysia melalui tempoh yang cukup mencabar tahun lalu.

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Malaysia terus bergelut dengan ekonomi tidak menentu tahun lalu.

Ini susulan kejatuhan mendadak harga komoditi, perdagangan global yang lemah serta permintaan yang menurun.

Berikut adalah apa yang perlu anda tahun mengenai rumusan MIER mengenai ekonomi Malaysia tahun lalu.

1. Jualan rumah menurun

7 dari 10 pemaju hartanah yang ditinjau MIER melaporkan jumlah jualan tidak memberangsangkan pada suku keempat 2015, kadar terendah dalam sejarah tinjauan.

Hanya 7% dari yang ditinjau melaporkan peningkatan dalam jualan rumah tahun lalu.

Antara jenis kediaman yang mencatat jualan terbaik adalah rumah setingkat dan dua tingkat, manakala jualan pangsapuri dan banglo tidak memberangsangkan.

2. Kadar pengangguran terus meningkat

Untuk 2015, MIER menjangkakan peningkatan kadar pengangguran negara kepada 3.1%, dari 2.9% bagi tahun sebelumnya.

Ia turut menjangka angka ini akan terus meningkat kepada 3.3% pada 2016 ekoran unjuran ekonomi yang kurang memberangsangkan di peringkat domestik dan antarabangsa.

MIER walaubagaimanapun menjangka kadar pengangguran negara akan kembali menurun kepada 3.0% pada 2017.

3. Inflasi menurun berbanding tahun sebelumnya

MIER menjangka inflasi bagi tahun penuh 2015 akan berada pada paras sederhana 2.1%.

Ini berbanding paras inflasi 3.2% bagi 2014 dan 2.1% bagi 2013.

Ia berkata penurunan harga minyak dan tenaga serta kenaikan inflasi yang perlahan di peringkat global akan memerlahankan peningkatan inflasi negara.

4. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melembap 2015

Cabaran ekonomi terus membelenggu pertumbuhan KDNK negara 2015 dan MIER mengunjurkannya pada paras 4.9% bagi 2015.

Keadaan ekonomi kita amat terjejas oleh isu kestabilan jangka pendek berkaitan keyakinan dan sentimen.
"Keadaan ekonomi kita amat terjejas oleh isu kestabilan jangka pendek berkaitan keyakinan dan sentimen dalam ekonomi, tetapi struktur jangka panjang kekal mapan," kata Pengarah Eksekutif MIER, Dr Zakariah Abdul Rashid.

Ini merupakan penurunan signifikan dari pertumbuhan KDNK negara sebanyak 6.0% bagi 2014.

MIER menjangka pertumbuhan KDNK negara akan terus bertambah perlahan, sekitar paras 4.7% untuk 2016.

Zakariah berkata kadar pengangguran dijangka akan terus meningkat ekoran unjuran ekonomi yang kurang memberangsangkan. - Foto Astro AWANI
Apa yang boleh dijangka untuk tahun ini?

MIER mengunjurkan purata harga minyak mentah berada pada sekitar ramalan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) sekitar US$47.97 setong.

Manakala bagi ringgit, ia meramal matawang tempatan berada pada sekitar RM4.20 hingga RM4.30 berbanding dolar Amerika memasuki 2016.

Bergerak ke hadapan, MIER berkata Malaysia perlu bertindak pantas dalam mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi ekonomi.

Ini akan membantu memulihara sentimen pelabur dan komuniti ekonomi dunia terhadap kesihatan ekonominya.