Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yakin AirAsia X Bhd akan mempunyai tahun terbaik pada tahun 2019.

Keyakinan itu disandarkan selepas syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu mengambil beberapa inisiatif seperti menamatkan beberapa laluan, serta meningkatkan penggunaan pesawat.

Menerusi catatan terbaharu di Twitter, Tony turut berkata, perniagaan (AirAsia X) di Thailand amat memberangsangkan sementara pesaing di Indonesia tidak lagi diberi subsidi.

“AirAsia X akan mempunyai tahun terbaik pada 2019. Syarikat penerbangan paling tidak memberi nilai. Kami telah bekerja keras dengan menamatkan (beberapa) laluan, membuat rundingan semula untuk pajakan (dan) tingkatkan penggunaan pesawat. Ini akan mengurangkan kos (kami),” katanya yang juga Pengasas Bersama AirAsia X.


Tony turut berkata terdapat banyak pembangunan dalam perniagaan sampingan bagi syarikat penerbangan itu.


Dalam pada itu, Tony turut memaklumkan bahawa beliau dan rakan pengasas bersamanya, Datuk Kamarudin Meranun telah membeli saham syarikat itu.


Terdahulu pada Rabu, Tony berkata, Kumpulan AirAsia tidak akan membuka syarikat penerbangan baharu sekurang-kurangnya untuk tiga tahun akan datang.

BACA: AirAsia tiada hasrat lancar syarikat penerbangan baharu - Tony Fernandes

Sebaliknya, AirAsia akan memberi tumpuan kepada perniagaan di Indonesia dan Filipina.

Pada November 2018, AirAsia X mengumumkan akan menggantung perkhidmatan penerbangan harian ke dan dari Auckland, New Zealand, bermula 11 Feb, 2019.

Ini susulan kajian semula rangkaian berkala yang bertujuan menambah baik kecekapan operasi.

BACA: AirAsia akan gantung penerbangan ke dan dari Auckland

AirAsia X turut mencatatkan kerugian bersih sebantk RM197.47 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2018 berbanding kerugian RM43.30 juta yang dicatat tempoh sama tahun sebelumnya, berikutan harga bahan api yang lebih mahal.

BACA: AirAsia X catat kerugian pada suku-2 tetapi kekal yakin dengan prospek