PETALING JAYA: Julung kali diadakan, The Edge ESG Awards menyaksikan sebanyak 65 anugerah diberikan kepada 44 syarikat terdiri daripada syarikat senaraian awam (PLC) dan firma pengurusan aset yang menjadi peneraju kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di dalam negara.

Anugerah meliputi dua kategori utama, iaitu ekuiti dan dana.

Kategori ekuiti adalah hasil kerjasama bersama Bursa Malaysia dan FTSE Russell dan dianugerahkan kepada PLC berprestasi cemerlang menggunakan metodologi FTSE.

Manakala kategori dana dilaksanakan bersama rakan kongsi pengetahuan (kategori dana), Morningstar dan dianugerahkan kepada firma pengurusan aset berprestasi terbaik menggunakan metodologi mereka.

Antara pemenang besar dalam anugerah berkenaan ialah Sunway Bhd yang merangkul anugerah ‘Long-Term Achiever Award’ yang merupakan anugerah istimewa di bawah kategori ekuiti.

Bermaz Auto Bhd, Fraser & Neave Holdings Bhd, dan Malaysian Pacific Industries Bhd pula telah diiktiraf sebagai ‘Top Three Performers in ASEAN’.

Di bawah kategori dana, BIMB-Arabesque Global Shariah-ESG Ai Technology Fund (MYR) merangkul anugerah emas dalam ‘Best Overall Winner’ sementara Principal Global Sustainable Growth Fund (USD) menerima anugerah perak.

Kesemua pemenang bagi kategori dana di The Edge ESG Awards 2022. - Foto Astro AWANI
Sementara itu, Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan The Edge Media Group, Datuk Ho Kay Tat berkata, momentum dan tekanan ke atas perniagaan untuk mengguna pakai ESG perlu diperkasakan.

“Jika perniagaan mengabaikan ESG, mereka berisiko terputus daripada rantaian bekalan atau dilupuskan oleh pelabur utama.

"Mereka juga mungkin mendapati perniagaan tidak bersedia untuk risiko masa depan seperti banjir akibat perubahan iklim.

“Sebaliknya, prinsip ESG adalah penting untuk membangunkan syarikat yang kukuh dan berdaya tahan.

"Menjadi syarikat mempunyai nilai jangka masa panjang kepada pemegang saham, pengguna, dan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama pada majlis makan malam The Edge ESG Awards 2022, di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Kay Tat menambah, anugerah tersebut juga menggalakkan lebih ramai syarikat di dalam negara untuk menerapkan amalan ESG ke dalam perniagaan mereka.

“Melalui anugerah ini, kami menyasarkan untuk mengiktiraf syarikat di Malaysia yang menerajui dalam mengamalkan amalan ESG dengan baik.

"Ini adalah syarikat yang telah berjaya memastikan keseimbangan yang betul antara keuntungan dan amalan perniagaan terbaik.

“Dengan mengiktiraf mereka, kami berharap dapat menggalakkan lebih banyak syarikat Malaysia untuk melakukan yang lebih baik dan belajar daripada satu sama lain,” ujarnya.

The Edge ESG Awards dianjurkan dengan kerjasama Bursa Malaysia Bhd dan FTSE Russell, manakala Morningstar sebagai rakan kongsi pengetahuan untuk kategori dana dan Deloitte sebagai juruaudit, serta rakan kongsi utama anugerah, UOB Malaysia dan Astro AWANI sebagai penyiar rasmi.