KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd (AAGB) sedang merangka pelan untuk menyelaraskan situasi kewangannya bagi menangani status Nota Amalan 17 (PN17) dan pengumuman yang berkaitan akan dibuat dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes berkata portfolio syarikat AirAsia yang kukuh dan pelbagai akan membolehkannya menjejaki penyelarasan kedudukan kewangannya dengan cepat dan telah mengesahkan daya maju perniagaannya yang kukuh pada masa depan.

"Apa yang penting, kami bukan hanya syarikat penerbangan lagi (iaitu) bergantung sepenuhnya kepada tambang penerbangan.

"Kami adalah syarikat pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup sinergi, semuanya dijangka menjadi peneraju industri dalam bidang masing-masing di ASEAN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Bursa Malaysia telah menolak rayuan AAGB yang ingin melanjutkan tempoh pelepasan selama 18 bulan daripada diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 yang berakhir pada 7 Jan 2022.

Fernandes berkata AAGB telah melaksanakan pelbagai langkah pengumpulan dana untuk meningkatkan kedudukan mudah tunainya, selain meletakkan asas yang kukuh bukan sahaja untuk bertahan tetapi pulih daripada impak pandemik dengan lebih kukuh daripada sebelum ini dalam masa terdekat.

Beliau berkata kumpulan telah meraih lebih RM2.5 bilion setakat ini, termasuk penempatan persendirian sebanyak RM336.48 juta pada suku pertama 2021.

Ia turut meraih RM974.51 juta lagi melalui terbitan hak boleh ditolak daripada sekuriti hutang Islam tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCUIDS) untuk tempoh tujuh tahun dan merancang untuk meraih modal tambahan sehingga RM400 juta pada tahun ini.

Ini akan memastikan mudah tunai yang mencukupi untuk menangani impak pandemik pada 2022, katanya.

Mengenai syarikat penerbangan, Fernandes berkata AAGB telah mengurangkan kos dengan ketara dan terus beroperasi di satu daripada pangkalan kos terendah di dunia.

"Pemulihan sedang berjalan dengan baik untuk industri penerbangan. Kami terus meningkatkan operasi domestik dalam pasaran teras kami di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina kepada tahap hampir sebelum COVID di beberapa laluan utama," katanya.

-- BERNAMA