Pelabur asing terus menjual ekuiti Malaysia dalam tempoh 20-23 April, dengan jualan bersih meningkat kepada RM889.62 juta daripada RM456.09 juta pada 13-16 April berikutan minat untuk mengambil risiko terjejas oleh sentimen pasaran yang lemah susulan kejatuhan harga minyak.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul berkata Isnin menjadi hari bergolak berikutan kontrak Mei untuk West Texas Intermediate (WTI), antara tiga indeks penanda aras untuk minyak mentah, jatuh kepada -US$37.63 setong berikutan spekulator segera menutup kedudukan terbuka mereka.

"Pada masa sama, petunjuk ekonomi terutamanya sentimen perniagaan seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pengurus Pembelian (IPP) yang merosot di negara-negara maju pada April," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, runcit tempatan mencatatkan belian bersih sebanyak RM484.79 juta dengan purata penyertaan sebanyak 35.85 peratus dalam tempoh 20-23 April, berbanding jualan bersih sebanyak RM96.75 juta dengan purata penyertaan sebanyak 32.9 peratus dari 13-16 April.

Institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih dalam pasaran ekuiti Malaysia dalam tempoh tersebut sebanyak RM404.64 juta berbanding RM442.22 juta sebelum ini.

Bagi minggu akan datang, Mohd Afzanizam berkata peserta pasaran akan sibuk dengan data ekonomi yang lemah.

Amerika Syarikat (AS) akan mengumumkan keputusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertamanya pada 29 April, dengan angka dijangka susut sebanyak 4.1 peratus berdasarkan anggaran konsensus.

Ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS akan bersidang semula pada 28-29 April, dan pasaran akan menjangka penilaiannya berdasarkan kemungkinan membuka semula ekonomi dalam bidang kuasa tertentu, kata Mohd Afzanizam.

"China, juga, akan mengeluarkan data indeks IPP. Minggu ini, kami menyaksikan indeks IPP di negara-negara maju merosot, dan perniagaan dijangka dikekang daripada berkembang.

"Sehubungan itu, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI) minggu depan akan terus berhati-hati," katanya.

Di peringkat tempatan, kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei, dengan lebih banyak sektor ekonomi akan dibuka semula secara berperingkat.

Jumlah kes COVID-19 yang aktif telah stabil, merosot kepada 1,882 sehingga 25 April daripada 2,057 pada 19 April.

"Negara menuju ke arah yang betul dan ekonomi akhirnya akan dibuka semula.

"Oleh itu, pasaran akan memantau untuk mengukur kekuatan permintaan domestik, pada masa depan," kata Mohd Afzanizam.

-- BERNAMA