KUALA LUMPUR: Salah satu ciri yang paling diminta oleh pengguna Apple tempatan, Apple Pay, akhirnya tiba di Malaysia dengan tiga bank sokongan iaitu Maybank, AmBank dan Standard Chartered.

Ciri yang mula boleh digunakan hari ini itu membolehkan pengguna melakukan pembayaran tanpa sentuh dengan peranti iOS seperti iPhone dan Apple Watch.

Untuk berbuat demikian, pengguna perlu terlebih dahulu menyimpan butiran kad bank mereka dalam aplikasi Wallet pada peranti iOS mereka.

Setelah disimpan, mereka boleh mula mengesahkan pembayaran menggunakan Face ID atau Touch ID.

Untuk pembelian secara offline, pengguna boleh membuat pembayaran dengan NFC.

Apple Pay juga boleh digunakan sebagai kaedah pembayaran dalam talian untuk platform seperti Shopee.

Perkhidmatan ini juga menyokong pembayaran untuk aplikasi dan permainan di App Store.

Malaysia merupakan negara kesembilan di Asia Pasifik serta kedua di Asia Tenggara yang menerima Apple Pay selepas Singapura pada April 2016.

Apple Pay pertama kali diumumkan pada September 2014 semasa pelancaran iPhone 6 dan iPhone 6 Plus, sebelum ia dilancarkan kepada pengguna di Amerika Syarikat pada bulan berikutnya.