Negara anggota ASEAN dan China kini dalam jangkauan bagi Proton untuk memasarkan keretanya susulan perjanjian perkongsian strategik baru-baru ini dengan Geely Holding Group Co Ltd, China kata ahli geostrategi, Dr Azmi Hassan.

"Satu perkara yang jelas sejak dari awal lagi, Geely menyasarkan pasaran global kerana ia merupakan model perniagaannya selama ini. Di peringkat awal lagi, Malaysia berada dalam kedudukan yang baik sebagai gerbang masuk ke pasaran ASEAN," katanya kepada Bernama hari ini.

Di Geely, yang antara lain memiliki Volvo sepenuhnya, pembuat kereta nasional Malaysia ternyata mendapat rakan kongsi yang lebih baik, katanya.

Beliau bersetuju terhadap pandangan bahawa ikatan perkongsian dengan Geely dalam mengharungi pasaran kereta dunia yang sangat kompetitif merupakan peluang terbaik untuk Proton Holdings Bhd dalam sejarahnya.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd Datuk Seri Faisal Albar baru-baru ini berkata Geely terbukti merupakan rakan kongsi yang komited dalam segala usaha, membantu setiap syarikat yang diperoleh kepentingan supaya pulih menggunakan tahap pelaburan yang bersesuaian serta suntikan besar dalam teknologi dan inovasi.

Dr Azmi berkata dalam perniagaan pembuatan kereta, tidak masuk akal untuk penggiat bergerak bersendirian, terutama sekali bagi Proton, yang telah lama berjuang untuk hidup dengan menjual kereta terutama untuk pasaran domestik.

"Untuk membiarkan Proton terus menjual dalam pasaran tempatan sahaja, akan menjurus kepada kehancurannya. Proton mesti mampu untuk menguasai pasaran ASEAN terutama ketika halangan tarif sudah dimansuhkan dalam kawasan berkenaan. Saya nampak Geely menyasarkan Malaysia melalui Proton untuk bertapak di ASEAN," katanya.

Beliau menyifatkan ASEAN yang mempunyai kira-kira 600 juta penduduk, sebagai pasaran kereta yang berkembang pesat, dan bersama Geely, yang mengeluarkan satu juta kereta setahun di seluruh dunia, Proton juga akan dapat mengeluarkan kereta yang berkualiti lebih baik pada harga yang lebih rendah, hasil daripada skala ekonomi yang menguntungkan.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya menganggap saya mempunyai kepentingan dalam Proton, dan saya melihat model perniagaan Geely sangat sesuai bagi rakyat Malaysia yang menganggap Proton sebagai ikon negara kita," katanya.

-- BERNAMA