KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd mendahului dalam pengiklanan televisyen yang inovatif dengan perkhidmatan pengiklanan bersasar baharunya, yang pertama di Asia Tenggara disesuaikan dengan pelbagai industri dan saiz perniagaan, dan buat kali pertama, membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengakses inventori televisyen.

Ketua Pegawai Kewangan Astro Group Shafiq Abdul Jabbar berkata PKS di Malaysia adalah besar dan Astro akan membantu usahawan dengan pendekatan yang lebih bersasar melalui perkhidmatan tersebut.

"Apa yang boleh kami lakukan ialah membawa usahawan tersebut berbicara dalam segmen tertentu.

"Oleh itu, kami boleh mengambil produk PKS, meletakkannya dalam segmen audit PKS yang kami fikir relevan. Ia boleh menjadi nasional jika mereka mahu atau ia boleh disasarkan kepada negeri tertentu," katanya kepada pemberita pada acara pengiklanan bersasar di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Astro Media Solutions Kenny Ong berkata kaedah membeli iklan digital kini di televisyen melalui pengiklanan bersasar.

"Sebelum ini terlalu rumit atau atas sebab apa pun untuk dikatakan, ia hanya untuk syarikat besar. Bagaimanapun, kini kami menunjukkan kepada mereka 'anda juga boleh melakukannya dan iklan anda sebenarnya muncul di televisyen nasional di seluruh negara'.

"Ia membuka dunia baharu untuk kandungan sedemikian," katanya.

Rakan Pengasas Innov8TV Ltd dan bekas Timbalan Pengarah Urusan Sky Media Jamie West berkata mereka yang baharu kepada pengiklanan boleh memanfaatkan dedahan pengurangan risiko pengiklanan bersasar dengan hanya menguji di satu rantau atau satu segmen penonton dan kemudian berkembang dari sana.

"Apa yang kami lihat ialah sejumlah pengiklan yang akan bermula dengan hanya penonton sasaran yang amat ketat dan kemudian berkembang dari semasa ke semasa berikutan kedua-duanya membina keyakinan dan pendapatan melalui pulangan ke atas pelaburan yang mereka peroleh melalui pengiklanan," katanya.

Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Group Henry Tan berkata Astro sedang membentuk semula penawaran pengiklanannya untuk menjadikannya lebih menarik kepada pihak pemasaran dalam dunia pengiklanan yang semakin didominasi digital.

Beliau berkata dengan perkhidmatan Pengiklanan Bersasar Astro yang fleksibel dan berkesan, pengiklan mempunyai sasaran yang dipacu oleh data dan kemampuan pengukuran untuk meningkatkan prestasi iklan melalui peningkatan data penonton, memberikan peluang kepada jenama untuk mengakses deskriptor penonton berdasarkan data pihak pertama.

Perkhidmatan Pengiklanan Bersasar Astro telah dilaksanakan di Video On Demand di Astro GO serta Ultra dan Ulti Boxes sejak November 2021 dengan pelancaran bersasar linear secara berperingkat pada Jun ini untuk mencapai penonton isi rumah Astro yang bernilai tinggi.

-- BERNAMA