KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) merekodkan peningkatan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) sebanyak 21 peratus kepada RM106 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 (Q3FY22).

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, syarikat itu turut mengumumkan dividen interim ketiga bernilai 1.5 sen sesaham.

“Keputusan kewangan suku tahun ketiga bagi tahun kewangan berakhir 2022 kekal berdaya tahan walaupun dalam fasa penutupan atau lockdown.

“Astro terus menjana pendapatan tunai, mampu mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat,” kata Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi.

Antara lain, pengukuhan itu disumbang oleh strategi pengagregatan yang dilaksanakan Astro seperti “Pengalaman Baharu Astro” yang mengintegrasikan Netflix dengan Ultra Box.

Dalam masa sama, pangkalan jalur lebar syarikat itu turut meningkat sebanyak 83 peratus dari tahun ke tahun pada sembilan bulan pertama untuk tahun kewangan berakhir 2022.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif  Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, peningkatan itu juga adalah kerana pelanggan memilih melanggan pakej kandungan yang digabungkan bersama perkhidmatan jalur lebar yang lebih bernilai serta memudahkan.

“Pada hari ini, lebih 500,000 kediaman telah dilengkapi dengan Ultra dan Ulti Box, termasuklah versi Plug & Play yang boleh dipasang sendiri dan berfungsi sepenuhnya dengan perkhidmatan jalur lebar.

“Dalam pada itu, Astro GO telah merekodkan sejumlah satu juta pengguna aktif pada setiap bulan dengan purata tontonan selama 4.2 jam pada setiap minggu. Manakala jumlah video On Demand yang distrim melonjak sebanyak 189 peratus kepada 387 juta,” kata Henry.

Dalam perkembangan berkaitan, perbelanjaan pengiklanan (Adex) syarikat itu pula kekal sederhana pada RM94 juta.

“Walaupun Adex 9MFY22 meningkat 2 peratus dari tahun ke tahun kepada RM303 juta, Adex Q3FY22 dilihat merosot sebanyak 5 peratus dari suku tahun ke suku tahun, impak dari fasa penutupan sebelum ini.

“Namun begitu, kesan dari pembukaan semula sektor ekonomi, Adex dan ‘Enterprise’ dilihat menyaksikan perkembangan positif dan menampakkan pemulihan pada Oktober lalu,” menurut kenyataan itu.