Bajet 2019 adalah sukar untuk kerajaan, kata Lim

Bernama
September 20, 2018 20:21 MYT
Lim Guan Eng ketika ditemubual oleh hos Wan Syahrina Wan Ab Rahman pada program Ruang Bicara bertajuk Sales and Services Tax di Wisma Bernama, Kuala Lumpur, 20 Sept, 2018. --fotoBERNAMA
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan Bajet 2019 yang akan dibentangkan November ini sebagai belanjawan yang sukar bagi Kerajaan Persekutuan.
Bajet itu yang pertama untuk kerajaan Pakatan Harapan, dijadual untuk dibentangkan di Parlimen pada 2 November ini.
"Kita perlu membetulkan kewangan fiskal dan pada masa sama perlu juga meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kita harap rakyat akan faham bahawa kita perlukan masa tiga tahun untuk berbuat demikian," katanya dalam temubual Bernama News, malam tadi.
Terdahulu, ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara di Bernama, Lim berkata kerajaan sememangnya mengharapkan perkembangan yang positif dalam usaha mengurangkan bebanan hutang negara dalam masa tiga tahun, walaupun meraih hasil kutipan cukai lebih rendah.
Di bawah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kerajaan dijangka mengutip sejumlah RM21 bilion pada tahun depan berbanding RM44 bilion menerusi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
"Melalui pelaksanaan SST yang telah ditambahbaik, kerajaan sudah 'mengembalikan' semula jumlah kutipan cukai yang dianggarkan sekitar RM23 billion kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#Bajet 2019 #GST #hutang #kesejahteraan rakyat #kewangan fiskal #Lim Guan Eng #menteri #Pakatan Harapan #Parlimen #SST