KUALA LUMPUR : Bank Negara Malaysia (BNM) akan membuat beberapa penambahbaikan kepada Dana BNM buat pengusaha kecil dan sederhana (PKS) bagi menyokong perniagaan yang terjejas akibat pandemik.

Menurut BNM dalam kenyataannya pada Jumaat, ini adalah susulan daripada bantuan tambahan kerajaan terhadap industri PKS menerusi pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ujarnya BNM, peruntukan di bawah dua kemudahan sedia ada akan ditambah, selain menyediakan dua pembiayaan baharu buat PKS mulai Januari 2022 dengan jumlah keseluruhan RM11.2 bilion.

"RM2 bilion akan ditambah kepada Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (Targeted Relief and Recovery Facility, TRRF).

"Penambahan ini meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM8 bilion

"Kemudahan Agromakanan (Agrofood Facility, AF) juga akan ditambah sebanyak RM500 juta. Penambahan ini akan meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM2 bilion.

"Selain itu, kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (Business Recapitalisation Facility, BRF) sebanyak RM1 bilion akan diwujudkan untuk memperkukuh struktur modal perniagaan.

"Kemudahan ini akan membantu perniagaan mendapatkan pembiayaan dan pada masa sama, mengurus tahap keberhutangan mereka dengan lebih baik supaya lebih mampan.

"Melalui BRF, PKS boleh mendapatkan sama ada pembiayaan dalam bentuk ekuiti atau instrumen jenis ekuiti, atau pembiayaan hutang digabungkan dengan ekuiti secara perkongsian dengan pembiaya ekuiti pihak ketiga," jelas BNM.


Antara lain ujar BNM, kemudahan lain yang akan diperhalusi berdasarkan pengumuman Bajet 2022 itu termasuk kemudahan Peralihan Rendah Karbon sebanyak RM1 bilion akan diwujudkan berdasarkan pembiayaan yang setara oleh institusi kewangan peserta bagi membantu PKS menerapkan amalan lestari dan rendah karbon dalam operasi perniagaan mereka.

"Amalan ini termasuk peningkatan penggunaan bahan mentah yang lestari dan tenaga boleh diperbaharui serta penambahbaikan kecekapan tenaga yang digunakan oleh bangunan dan jentera," kata BNM.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terdahulu mengumumkan bantuan tambahan untuk PKS dan individu di bawah Belanjawan 2022.

BACA: Bajet 2022: RM14.2 bilion dana tersedia untuk PKS

Ia melibatkan tambahan RM4.5 bilion yang diperuntukkan di bawah Dana BNM buat PKS, tambahan RM20 juta untuk membantu usahawan mikro daripada kumpulan berpendapatan rendah melalui iTEKAD serta meneruskan program Baucar Perlindungan Tenang untuk penerima B40 yang layak.