KOTA BHARU: Bajet 2022 akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat Kelantan terutama dalam pembangunan infrastruktur dan utiliti ke arah memacu pertumbuhan sosioekonomi negeri, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Beliau menyifatkan Bajet 2022 telah memberi fokus yang inklusif dan menyeluruh melibatkan setiap segmen rakyat sebagai 'Keluarga Malaysia' demi kelangsungan hidup dan pemulihan ekonomi kesan pandemik COVID-19.

"Kerajaan Negeri berterima kasih atas komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur negara bernilai RM3.5 bilion yang turut melibatkan projek Central Spine Road di jajaran Paloh 2 ke Gua Musang dan membina pakej lebuh raya dari Kok Lanas ke Bukit Tiu, Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad berkata Kerajaan Negeri turut menyambut baik pengumuman Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Bajet 2022, bagi pembinaan sebuah stadium di Bukit Merbau, Pasir Puteh.

"Projek tersebut merangkumi pelbagai fasiliti sukan seperti gelanggang hoki, lapang sasar menembak dan pusat akuatik bagi persediaan Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2026," katanya.

Semalam Tengku Zafrul mengumumkan Bajet 2022 turut memperuntukkan RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara, peruntukan ini antaranya untuk memulakan pembinaan sebuah stadium di Bukit Merbau.

-- BERNAMA