KUALA LUMPUR: Pelabur akan terus memantau rapat Bajet 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Okt ini oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memandangkan ia boleh menjadi faktor penentu dalam meletakkan keyakinan mereka terhadap prestasi ringgit.

Pada awal Januari 2021, mata wang tempatan telah melepasi paras 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), susut kepada 4.24 pada pertengahan Ogos dan menjadi paras terendah setakat ini bagi 2021, sebelum kembali meraih asas pergerakan meningkat untuk diniagakan pada paras semasa 4.14 hingga 4.19.

Ketua Pakar Ekonomi, Bank Islam Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi komoditi yang kukuh membantu meningkatkan ringgit.

Beliau berkata tiga komoditi itu, minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan minyak sawit mentah (MSM) kekal pada paras tinggi.

"Ini dijangka membantu sehingga paras tertentu, menyediakan ruang fiskal kepada kerajaan dan pada masa sama menjadi pemangkin untuk pelan perbelanjaan modal yang lebih baik dalam kalangan peserta minyak dan gas," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata diharapkan pembentangan bajet kelak akan memperjelas mengenai bagaimana langkah kerajaan untuk mengurangkan jurang bajet.

"Ini memandangkan, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) telah menyasarkan penurunan fiskal 3.0 hingga 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 berbanding dengan 6.5 hingga 7.0 peratus yang diunjurkan pada 2022," katanya.

RMK12 merupakan rancangan pembangunan negara bagi tempoh lima tahun dengan sasaran pertumbuhan KDNK tahunan di antara 4.5 peratus dengan 5.5 peratus dari 2021 hingga 2025.

Sementara itu, Penganalisis Pertukaran Asing ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz yakin ringgit boleh mencecah paras 4.10 berbanding dolar AS untuk baki tempoh tahun ini.

Beliau berkata RMK12 adalah sejajar dengan matlamat global ke arah pembangunan ekonomi yang mampan dan ekuiti sosial lebih besar -- faktor tarikan positif untuk pelabur asing melabur di Malaysia.

"Sebagai pasangan mata wang, kita juga perlu memahami keadaan dolar AS. Pengumuman oleh Rizab Persekutuan (Fed) baru-baru ini bahawa ia tidak akan menaikkan kadar faedah untuk dolar AS sehingga 2023 boleh melemahkan mata wang itu.

"Jadi, secara umumnya, kita berpendapat kenaikan ringgit secara serentak dan kemungkinan penyusutan dolar AS, mungkin baik bagi Malaysia," katanya.

Beliau berkata mata wang tempatan telah meningkat berbanding dengan mata wang utama setara yang lain dalam beberapa bulan lepas.

"Bagaimanapun, aliran meningkat itu tidak begitu ketara, memandangkan ketidaktentuan disebabkan serangan varian Delta COVID-19 di negara ini.

"Namun, saya berpandangan pemulihan adalah positif dan kepantasan peningkatan ini juga penting memandangkan kestabilan kadar pertukaran yang lebih besar akan menyediakan lebih kebolehramalan terhadap perdagangan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata walaupun begitu, kenaikan pesat secara berlebihan yang dicatatkan ringgit juga boleh menjejaskan imbangan perdagangan.

-- BERNAMA