KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO melahirkan rasa kecewa apabila tuntutan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara 'one-off' tidak dimasukkan dalam Bajet 2022.

Menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, perkara itu menjadi harapan besar majoriti rakyat namun ia tidak dibentangkan oleh Menteri Kewangan.

"Sejujurnya, saya dan teman-teman di Pemuda UMNO Malaysia tidak dapat menyimpan perasaan kecewa, apabila ada beberapa #TuntutanRAKYAT yang kami perjuangkan tidak dipenuhi, walaupun tidak dinafikan sudah ada beberapa #TuntutanRakyat yang kami perjuangkan ditunaikan kerajaan termasuk Moratorium tanpa faedah.

"Namun antara yang menjadi harapan besar majoriti rakyat iaitu Pengeluaran Simpanan KWSP i-Citra RM10,000 secara one-off yang tidak dimasukkan oleh Kerajaan dalam pembentangan kelmarin.

"Apakan daya, walaupun perkara ini telah berkali-kali diperjuangkan secara konsisten bahkan diutarakan di dalam pelbagai medium, platform termasuk mengadakan siri-siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi negara hatta pengurusan tertinggi KWSP," katanya di media sosial Facebook, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Pemuda UMNO akan meniliti dokumen Bajet 2022 termasuk laporan ekonomi yang dibentangkan.

"Banyak cabaran dan kekangan yang akan dihadapi oleh semua pihak termasuklah kerajaan untuk menjayakan Bajet 2022 ini.

"Andaian ekonomi dan pengenalan cukai dan duti eksais baru untuk menampung perbelanjaan besar yang dirancang sudah pasti akan memberi impak kepada iklim perniagaan dan harga pengguna kelak.

"Oleh yang demikian, pandangan, kritikan dan cadangan-cadangan  untuk penambahbaikkan Belanjawan 2022 oleh Pemuda UMNO Malaysia akan disampaikan kepada Anggota Pentadbiran Kerajaan dan Ahli-Ahli Parlimen," jelasnya.

Pada Jumaat, Bajet 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' dan bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan, dibentangkan dengan jumlah RM332.1 bilion oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.


 
Sumber Facebook drasyrafwajdidusuki