KUALA LUMPUR: Bajet 2023 perlu diteruskan, biarpun Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagaimanapun, ia perlu dibentangkan semula, seperti mana yang pernah terjadi tahun 1999, iaitu bajet dibentangkan dan pembubaran berlaku.

Merujuk kepada situasi 1999, beliau berkata, Bajet yang dibentangkan pada tahun tersebut, kata beliau, bagaimanapun, dibentangkan sekali lagi selepas pilihan raya umum selesai.

Namun, Tengku Zafrul berkata, perkara itu masih belum berlaku dan persoalan tersebut sewajarnya diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk lebih pencerahan.

“Jika anda rujuk kembali pada 1999, bajet dibentangkan, kemudian ada pembubaran dan (selepas selesai), bajet dibentangkan kembali. Jadi itu yang akan berlaku sekiranya ada pembubaran,” kata Tengku Zafrul dalam sidang media selepas membentangkan Bajet 2023 di Parlimen, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus Dewan Rakyat akan dibubarkan dalam masa terdekat, sehingga mencetus perdebatan segelintir pihak bahawa pembentangan Bajet 2023 akan menjadi sia-sia.

Tengku Zafrul berkata, penyediaan Bajet 2023 dilakukan mengambil kira pandangan dari segenap lapisan pemegang taruh, termasuk 200 sesi libat urus bersama kementerian, kerajaan negeri dan sektor swasta.

Selain itu beliau berkata, Kementerian Kewangan turut mengambil kira 250 memorandum daripada pelbagai pihak selain hampir 12,000 cadangan daripada rakyat.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Bajet 2023 memberi tumpuan tentang kedudukan semasa hala tuju dan masa depan negara dengan mengambil kira Laporan Tinjauan Ekonomi yang telah diterbitkan sebelum ini.

“Seperti yang disebut tadi, KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita tahun ini kita sudah semak balik dan unjuran baharu antara 6.5 hingga 7 peratus. Kita juga mempunyai sasaran defisit baharu unuk tahun ini iaitu 5.8 peratus berbanding 6 peratus sebelum ini.

“Tahun hadapan kita meletakkan sasaran defisit 5.5 peratus. Selain itu terdapat juga anggaran perbelanjaan serta perancangan untuk tahun hadapan. Jadi soalan anda (sekiranya Bajet 2023 sia-sia), sebenarnya tidak berasas,” tegas Tengku Zafrul.