KUALA LUMPUR : Kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 sen kepada RM3.50 untuk Semenanjung dan RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kenaikan kadar itu akan berkuat kuasa pada bulan ini juga.

"Sejumlah RM777 juta disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada tahun 2020 atas peluasan penerima, kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu setiap hari.

"Dengan itu, lebih 800,000 murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan ini," katanya semasa membentangkan Bajet 2023 di dewan rakyat pada Jumaat. 

BACA : RMT: Kadar baharu belum dimuktamad, dalam proses perbincangan - Radzi

Selain itu, pada tahun depan, sejumlah RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid-murid sekolah.

"Ini merupakan peningkatan ketara berbanding peruntukan 1.7 bilion ringgit bagi tahun ini. Daripada jumlah tersebut, RM1.1 bilion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi
sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaaan cina dan tamil serta sekolah agama," tambahnya lagi. 

Pada 23 Julai lalu, Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyemak semula dan menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada RM4 dan RM5 bagi murid sekolah rendah di seluruh negara.

Setiausahanya, Siti Normah Md Desa, berkata kenaikan kadar itu wajar seiring kenaikan harga barangan semasa.