KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap agar kerajaan meningkatkan peruntukan bagi penjagaan kesihatan sekurang-kurangnya lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan pada 7 Oktober ini.

Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata selama bertahun-tahun, perkhidmatan kesihatan diuruskan dengan jumlah yang kecil tetapi kakitangan kesihatan masih memberikan penjagaan yang berkualiti tinggi.

Jelas beliau lagi, kemudahan kesihatan juga disifatkan semakin 'tua' dan terdapat kekurangan tenaga kerja yang meregangkan sistem pengurusan.

Dengan isu doktor kontrak yang masih berpanjangan, Dr Muruga menambah MMA turut berharap agar 1,500 jawatan tetap semasa dapat digandakan pada tahun depan.

"Kami juga berharap akan ada penambahan peruntukan untuk menyokong program pengkhususan.

"Penekanan diperlukan dalam bidang ini untuk menangani kedua-dua isu iaitu kekurangan pakar dan memastikan Malaysia dilengkapi dengan pengkhususan yang akan mendapat permintaan tinggi apabila negara mencapai status negara tua.

"Pada tahun 2030, Malaysia akan mencapai status negara tua dimana 15 peratus daripada populasi akan berumur 60 tahun atau lebih.

"Kemudahan penjagaan kesihatan awam yang semakin tua akan memerlukan dana untuk penyelenggaraan dan naik taraf.

"Walaupun kebanyakan kemudahan sudah lama, MMA mencadangkan agar penilaian yang sewajarnya dilakukan untuk menentukan kemudahan mana yang perlu diberi keutamaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, Dr Muruga berkata kemudahan baharu diperlukan terutamanya untuk mencapai masyarakat luar bandar dan memastikan pengagihan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang sama rata di seluruh negara selaras dengan matlamat Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC).

MMA, ujar beliau berharap suntikan dana bagi penubuhan pusat khusus di Utara dan Selatan Semenanjung kerana masih terdapat pesakit yang terpaksa ke Lembah Klang untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan oleh pakar-pakar tertentu.

Di sebalik kemudahan kesihatan baharu, Dr Muruga berkata ia perlu dilengkapi dengan akses jalan raya atau infrastruktur lain yang perlu diberi perhatian oleh kementerian berkaitan.

Dalam masa yang sama, Dr Muruga menambah Bajet 2023 wajar memberi fokus kepada sekuriti ubat-ubatan susulan gangguan bekalan perubatan yang dihadapi negara.

"Kementerian Kesihatan (KKM) boleh melihat pelaburan dalam Pembangunan & Penyelidikan (R&D) sendiri untuk membolehkan kita mengurangkan kebergantungan kepada farmaseutikal asing.

"Selaras dengan rancangan kementerian untuk memberi cuti tambahan sehari kepada pekerja untuk menjalani saringan kesihatan, kerajaan juga boleh meningkatkan insentif cukai semasa untuk orang dewasa yang bekerja bagi menggalakkan lagi mereka menjalani saringan kesihatan.

"Selain itu, kami berharap terdapat juga peruntukan untuk meningkatkan penyampaian penjagaan primer di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan dan sektor swasta melalui kerjasama awam-swasta.

Dr Muruga berkata, lebih banyak peruntukan diperlukan untuk kesihatan awam bagi pencegahan Penyakit Berjangkit (CD) dan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).

Sehubungan itu, MMA kata Dr Muruga mencadangkan agar kerajaan meningkatkan insentif cukai bagi dalam aktiviti sukan, kecergasan serta pembelian peralatan sukan sebagai usaha menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat.

Pada Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan RM32.4 bilion kepada KKM untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.