KUALA LUMPUR: Ramai usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dilihat memerlukan bantuan subsidi bersasar melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Pengasas Bersama Industries Unite (IU) Datuk David Gurupatham, berkata bantuan sedemikian boleh membantu memastikan sektor tersebut mampu berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.

Katanya, ia juga mampu meringankan beban kos yang semakin meningkat selain masalah logistik dan kekurangan tenaga kerja asing.

"Pada ketika ini cabaran bagi golongan PMKS ini adalah kos yang tinggi. Sekarang kita boleh dikatakan baru sahaja keluar sedikit sahaja daripada masalah kekurangan tenaga kerja. Bagaimanapun sehingga bulan ini juga masih terdapat masalah tersebut.

"Kita juga berdepan dengan kos bahan mentah yang tinggi ketika ini. Bagi syarikat besar mereka mungkin ada simpanan dan sebagainya namun bagi SME dan Makro SME itu adalah satu cabaran yang sangat besar.

"Kalau kita mahu menyasarkan bantuan kepada golongan itu pada bajet kali ini maka perlu laksanakan subsidi bersasar," katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya lagi, tekanan yang dihadapi mereka ketika ini turut berganda kerana kos yang sebelum ini dapat dikurangkan menerusi perlaksanaan moratorium, kini kembali kepada keadaan asal.

Ia katanya termasuk kos sewaan, pinjaman dan sebagainya di mana mereka kini mulai merasai tekanan yang agak tinggi dalam fasa peralihan endemik yang sedang dilaksanakan.

Katanya, inisiatif yang lebih komprehensif dan berkesan seperti kadar cukai yang lebih rendah dan adil mungkin dapat membantu mereka ketika ini.

Selain itu, juga kerajaan juga boleh mempertimbang untuk melanjutkan tempoh moratorium yang akan menjadi inisiatif yang sangat dinantikan mereka ketika ini.

Beliau dalam pada itu, memuji langkah yang diambil oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang terlebih dahulu mendekati usahawan PMKS untuk menyelami permasalahan golongan tersebut.

Katanya, sudah pasti langkah itu mampu memberikan input yang lebih tepat dalam menentukan bentuk bantuan yang akan dimasukkan dalam pembentangan Bajet 2023 nanti.

"Ini adalah kali pertama Menteri Kewangan telah bertemu dan berkomunikasi dengan pihak berkepentingan dalam industri dan beliau telah menerima maklum balas yang telah kita berikan. Saya rasa ini adalah hala tuju yang baik," katanya.

Sebelum ini Persatuan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (SEMENTA) mencadangkan supaya tarif cukai kepada Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) diturunkan kepada 15 peratus.

SEMENTA juga turut mencadangkan agar kerajaan melaksanakan pelepasan perbelanjaan modal lantaran ia dilihat mampu menaik taraf operasi pemain industri dalam sektor tersebut