Kerajaan akan terus komited untuk mencapai sasaran bajet berimbang menjelang 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Bajet Berimbang 2020 masih menjadi sasaran dan kita akan cuba sedaya-upaya untuk mencapai sasaran tersebut," kata beliau dalam program Soal Jawab, terbitan TV3, yang disiarkan malam ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata defisit negara akan berada dalam aliran berkurangan dari 3.5 peratus (tahun 2014) kepada 3.2 peratus (unjuran untuk 2015).

Keputusan telah diambil untuk membuat semakan realiti dari segi sasaran, kata Najib dalam program berkenaan yang dihoskan oleh Pengarah Urusan Institut Penyelidikan Khazanah Datuk Charon Mokhzani.

"Kita terpaksa menerima hakikat bahawa tidak mungkin kita dapat mencapai tiga peratus, sebab itu saya umumkan sasaran baru iaitu 3.2 peratus.

"Namun apa yang mustahak ialah bahawa aliran (trend) itu ke arah pengurangan daripada 3.5 peratus kepada 3.2 peratus meskipun tidak dapat mencapai unjuran asal kita namun kalau kita lihat pada jangka panjangnya sasaran kita ialah untuk mencapai bajet berimbang menjelang tahun 2020," kata beliau.

Menurut laporan, tahap defisit fiskal negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah berjaya dikurangkan daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 4.5 peratus pada tahun 2012, empat peratus pada 2013, dan terus menurun kepada 3.5 peratus pada tahun lepas.

Semasa pembentangan Bajet 2015 pada Oktober lepas, Najib berkata kerajaan merancang untuk mengurangkan belanjawan defisit kepada tiga peratus daripada KDNK tahun ini, namun kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia telah merencatkan perancangan tersebut.

Beliau turut menghuraikan tentang tanggungjawab pentadbirannya dan generasi semasa terhadap generasi akan datang dalam mengukuhkan defisit fiskal untuk mencapai bajet berimbang pada 2020.
"Kita tidak mahu Malaysia mewarisi kewangan Kerajaan Persekutuan yang dibebani dengan hutang," kata beliau ketika membentangkan bajet tersebut.

Kepada soalan Charon, yang juga Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Berhad, tentang apakah yang boleh kerajaan lakukan untuk menangani kejatuhan harga minyak, Najib menggariskan keadaan sebenar yang perlu difahami bahawa situasi kini bukan satu krisis atau kegawatan yang pernah dialami Malaysia, tetapi keadaan yang perlukan langkah penyesuaian.

"Kita perlu menyesuaikan (dengan) membuat perubahan kepada bajet negara melalui langkah-langkah fiskal dan mikro supaya kesan daripada kejatuhan harga minyak yang telah jatuh dengan mendadak dapat kita tangani supaya kita akan dapat kadar pertumbuhan yang agak masih boleh dikatakan masih baik atau pun masih menggalakkan.

"Dan yang paling penting sekali ialah usaha kita untuk membela rakyat meningkatkan kesejahteraan rakyat akan terus kita dapat laksanakan," kata beliau.

Najib turut menegaskan bahawa peruntukan untuk pembangunan negara tidak berubah.

"Peruntukan untuk pembangunan negara lebih kurang RM48.5 bilion itu akan kita pertahankan, maknanya kita tidak akan kurangkan sama sekali.

"Apa yang kita akan buat ialah penyesuaian dari segi perbelanjaan mengurus dan ini akan kita kurangkan sebanyak RM5.5 bilion supaya kita dapat menampung pengurangan hasil," kata beliau.

Najib berkata kerajaan kini memperoleh penjimatan kerana tidak perlu lagi mengeluarkan subsidi bagi minyak dan diesel, namun negara masih dalam defisit dan perlukan tindakan untuk mengurangkan perbelanjaan mengurus.

"Kita masih ada defisit dalam lebih kurang RM8.3 bilion. Ini kita tampung melalui tindakan-tindakan seperti yang saya sebutkan tadi, mengurangkan OE (perbelanjaan mengurus) dan menambahkan hasil negara melalui usaha-usaha tertentu yang saya telah umumkan semalam.

"Sektor minyak masih merupakan satu sektor yang strategik kepada negara. Itu tidak dapat saya nafikan tetapi tahap kebergantungan telah dapat kita kurangkan.

"Kita telah dapat melihat bahawa ekonomi negara kita ini hari ini lebih diversify (pelbagai), kepelbagaian ini merupakan satu kekuatan kepada kita," kata Najib.