KUCHING: Berita baik buat seluruh penjawat awam negeri Sarawak. 

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan seluruh penjawat awam di negeri berkenaan bakal menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah satu setengah bulan gaji. 

Perkara itu diumumkan Abang Johari semasa pembentangan Bajet Sarawak 2022 susulan Mesyuarat Khas Bajet Negeri di Pusat Konvensyen Borneo di sini, pada Selasa. 

"Sebagai menghargai khidmat bakti uang dicurahkan oleh para penjawat awam dalam mengurus jentera kerajaan khususnya dalam menangani suasana getir pandemik ini, saya dengan amat berbesar hati mengumumkan pemberian satu setengah bulan Bantuan Khas kewangan buat para penjawat awam negeri," kata Abang Johari. 

Menurut Abang Johari, tidak dilupakan para penjawat awam Persekutuan di Sarawak yang akan juga mendapat Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM500 seorang sebagai penghargaaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan mereka dalam memakmurkan negeri Sarawak.

Dalam Bajet 2022 yang dibentangkan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN), Abang Johari turut mengumumkan edisi bajet ini merekodkan jumlah tertinggi dalam sejarah negeri Sarawak dengan RM10.646 bilion.

"Pendapatan negeri dianggarkan sebanyak RM10.036 bilion dan ini menyaksikan jangkaan defisit sekitar RM610 juta.

Bajet Sarawak 2022 ini turut menggariskan lapan teras strategik yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan hidup rakyat.

"Antara perkara penting yang dilaksanakan termasuklah Bantuan Khas Sarawakku Sayang 8.0 dengan peruntukan RM285.47 juta.

"Pada tahun hadapan, kita juga telah memperuntukkan skim baharu untuk rakyat iaitu Skim Bantuan Deposit Perumahan Untuk golongan B40 dan M40 berjumlah RM10,000 tunai, yang akan dimanfaatkan 1,200 pembi rumah.

Tegas Abang Johari, Bajet 2022 ini turut bertujuan membantu dan meningkatkan taraf hidup rakyat dalam menghadapi situasi getir sekarang.

Terdahulu Ketua Menteri yang diiringi Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan adalah kelulusan Belanjawan Negeri 2022 ini adalah tertakluk kepada kuasa yang diberikan kepada Ketua Menteri Sarawak atau Pihak Kewangan Negeri mengikut Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Sarawak) 2021.