KUALA LUMPUR: Kumpulan Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding 13 peratus pada tahun kewangan 2020.

Ia membabitkan pembayaran berjumlah RM429.50 juta kepada 827,066 individu dan anggota koperasi, dan dividen itu akan dikreditkan mulai 25 April, 2022.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, walaupun berdepan persekitaran yang mencabar ekoran pandemik COVID-19, Bank Rakyat masih berupaya mengekalkan prestasi kadar dividen dua digit.

“Pencapaian ini adalah hasil daripada komitmen Bank Rakyat untuk merealisasikan mandat yang dipertanggungjwabkan bagi memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya," katanya dalam sidang media pengumuman dividen Bank Rakyat dan prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap keperluan penerima dividennya, yang mana 30 peratus daripada penerima individu adalah daripada golongan B40 dan 20 peratus daripada penerima kalangan anggota koperasi juga merupakan golongan B40.

Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.63 bilion manakala keuntungan bersih berjumlah RM1.86 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Prestasi memberangsangkan itu dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras walaupun wujudnya ketidaktentuan ekonomi akibat COVID-19.

Keuntungan bersih disumbangkan oleh liabiliti cukai tertunda yang lebih rendah pada tahun semasa.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, Bank Rakyat masih berada pada landasan dengan prestasi kewangan 2021 yang memberangsangkan didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan kumpulan serta kos pendanaan yang lebih kecil susulan kadar dasar semalaman (OPR) yang rendah.

Beliau berkata, di samping itu, peruntukan penjejasan juga lebih rendah pada tahun semasa, sejajar dengan aliran industri yang turut meningkatkan prestasi kumpulan.

“Pencapaian ini turut didorong oleh pendapatan operasi bersih kumpulan yang meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM3.52 bilion daripada RM3.41 bilion sebelum ini (tahun kewangan 2020).

“Ini dibantu oleh kos dana yang lebih rendah, hasil daripada pengurusan aset liabiliti yang berkesan selain Akaun Semasa-i dan Akaun Simpanan-i (CASA) yang lebih tinggi kepada RM9.23 bilion daripada RM8.28 bilion sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan juga dapat mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan yang sihat di bawah 40 peratus iaitu lebih rendah daripada purata industri, hasil daripada aktiviti pengurusan kos yang efektif. 

Abd Rani berkata, dalam melangkah ke hadapan, Bank Rakyat akan terus menumpukan bidang pertumbuhan baharu, terutama untuk memanfaatkan potensi yang boleh diterokai dalam perniagaan dan operasi menerusi transformasi digital bagi mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham. 

Beliau berkata, pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) kini berada dalam fasa pelaksanaan dengan kesemua 46 program yang direncanakan telah direalisasikan pada 2021 mengikut perancangan bank.

“Pencapaian ini termasuk penubuhan 10 Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Koperasi (SMEC) yang kini beroperasi di seluruh negara.

“Selain itu, Bank Rakyat telah melancarkan aplikasi perbankan mudah alih iRakyat dan ia merupakan antara pencapaian utama bagi pelan tindakan digitalisasi menerusi BR25,” katanya.

Setakat 31 Disember 2021 permodalan pasaran Bank Rakyat berjumlah RM21 bilion, manakala jumlah aset kumpulan adalah RM115.06 bilion.