Basmi kemiskinan matlamat Raja Perfume melalui perniagaan minyak wangi jenama 'Boyo'

Muhafandi Muhamad
Mac 3, 2024 04:45 MYT
Pada majlis perasmian cawangan keempat Raja Perfume di Bandar Baru Jelawat, Bachok, Wan Mohd Rahimie melancarkan minyak wangi jenama 'Boyo Temago'. - Foto Astro AWANI
BACHOK: RAJ4 Perfume Sdn Bhd, perniagaan minyak wangi yang diasaskan oleh seorang anak muda, meletakkan misi untuk membasmi kemiskinan dan miskin tegar melalui perkongsian perniagaannya.
Dengan pengalaman lalu bermula sebagai peniaga pasar malam sebelum bergelar usahawan berjaya, Wan Mohd Rahimie Syazerin Ab Rahim, 30 tahun, ingin berkongsi kejayaannya bersama orang ramai, khasnya mereka yang kurang mampu.
Pemilik Raja Perfume itu memaklumkan, sebahagian golongan kurang berkemampuan telah berjaya meraih pendapatan ribuan ringgit dan memiliki aset selepas turut bersama dalam perniagaannya.
"Misi Raja Perfume adalah untuk membasmi kemiskinan, yang mana saya tengok, ramai orang sekarang berdepan masalah kewangan dan peluang pekerjaaan agak terhad di Kelantan.
"Jadi, kami buka peluang perniagaan supaya mereka boleh pakat-pakat berniaga. Harga minyak wangi kami tak tinggi, iaitu serendah RM10 sahaja," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian cawangan keempat Raja Perfume di Bandar Baru Jelawat, di sini, semalam.
"Raja Perfume sudah bertapak selama lima tahun dengan ibu pejabat kami di Pasir Tumbuh, diikuti cawangan di Parit Limbat di Kota Bharu; Ladang di Kuala Terengganu; dan terbaru, Bandar Baru Jelawat.
"Untuk agen, kami membuka peluang perniagaan bagi menambah pendapatan dan sekali gus mengubah kehidupan.
"Mereka yang berjaya melakukannya, ada yang sudah mengubah nasib, mempunyai pendapatan tetap, hingga mencecah ratusan ribu ringgit," tambahnya.
Wan Mohd Rahimie atau lebih mesra disapa Long menjelaskan, setakat ini terdapat lebih 1,500 agen yang menjual pelbagai bauan minyak wangi Raja Perfume di seluruh negara.
Beliau turut meletakkan sasaran untuk mencapai 10,000 agen pada tahun ini selepas produknya mendapat permintaan tinggi.
Terdapat enam wangian minyak wangi Raja Perfume, yang dinamakan Boyo Putih, Boyo Darat, Boyo Jate, Boyo Tino, Boyo Mas dan terbaru Boyo Temago.
Dengan jualan yang semakin meningkat termasuk permintaan dari luar negara seperti Thailand dan Brunei, pihaknya telah berjaya meletakkan jenama Raja Perfume di seluruh negara.
Beliau berkata, dengan misi untuk membantu warga tempatan berniaga, terutama yang kurang berkemampuan, kurang upaya dan fakir miskin, supaya menyertai perniagaan Raja Perfume, pihaknya mengharapkan ia dapat mengubah nasib hidup mereka.
Long memaklumkan, tahun ini Raja Perfume menyasarkan jualan lebih tinggi memandangkan wangian dan jenama 'Boyo' sudah semakin tular di media sosial.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Kelantan, Azman Ismail menghargai semangat anak muda berniaga seperti yang ditampilkan oleh Raja Perfume.
Katanya, usahawan muda ini telah berjaya mencipta perniagaan serta mampu mengambil lebih 200 anak tempatan bekerja.
"Raja Perfume menampilkan contoh kecekalan anak muda yang boleh diteladani oleh anak muda di luar sana.
"Perniagaan anak muda ini mampu melangkah jauh dan menembusi pasaran lebih luas sekiranya usahanya diteruskan lagi," tambah Azman.
Pada majlis perasmian cawangan keempat Raja Perfume itu, minyak wangi jenama 'Boyo Temago' turut dilancarkan.
#Minyak Wangi #Mohd Rahimie Syazerin Ab Rahim #Raja Perfume #minyak wangi Boyo