KUALA LUMPUR:Dewan Rakyat kecoh hari ini apabila ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mencelah semasa ucapan penggulungan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz .

Beliau mendakwa kerajaan membuat pemalsuan fakta dan melibatkan ahli Parlimen pembangkang hanya sekali dalam perbincangan sebelum Belanjawan dibentangkan.

Susulan itu, beberapa ahli Parlimen lain turut bangun untuk mencelah dan berlaku kekecohan dalam beberapa minit.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kemudiannya membacakan peraturan mesyuarat kepada ahli Parlimen bahawa Pengerusi Dewan boleh tidak membenarkan wakil rakyat bercakap atau mencelah sekiranya mesyuarat tidak cukup masa.

Malah, kata Azhar, Pengerusi Dewan juga boleh menghalang ahli Parlimen bercakap jika dirasakan wakil rakyat itu hanya mengacau ahli Parlimen yang sedang bercakap.

Susulan itu, Dewan Rakyat kembali kecoh apabila ahli Parlimen kembali bangun dan mahukan penjelasan Menteri Kewangan mengenai penglibatan anggota parti pembangkang sebelum pembentangan Belanjawan 2021.

"Maka, tuan Speaker, jangan kata Belanjawan 2021 ini adalah hasil perbincangan bersama pembangkang," tegas Khalid lagi.

Kekecohan yang hampir 10 minit itu akhirnya semakin reda apabila Speaker Dewan Rakyat memberikan laluan kepada Menteri Kewangan untuk menghabiskan ucapan penggulungan Belanjawan 2021.