Belanjawan 2021 gagal sediakan jaring keselamatan sosial mencukupi untuk warga pekerja - Ahli Parlimen PKR

Fareez Azman
November 27, 2020 09:25 MYT
Ketiga-tiga mereka berpendapat Belanjawan 2021 dilihat kurang fokus kepada penjanaan peluang pekerjaan yang kalis masa hadapan dan pandemik COVID-19.
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 dilihat gagal menyediakan jaring keselamatan sosial yang mencukupi untuk warga pekerja di Malaysia.
Perkara itu disuarakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ujar mereka, langkah diambil oleh Kerajaan dalam mengumumkan pengeluaran awal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya memudahkan laluan penabung menggunakan dana simpanan masa depan dan bukannya langkah untuk membantu rakyat menabung.
"Dengan hanya bertumpu kepada langkah populis gesaan ramai ahli politik berkisar pengeluaran awal KWSP, kerajaan hanya memudahkan laluan penabung menggunakan dana simpanan masa depan, bukannya melakukan sedaya upaya untuk membantu rakyat menabung.
"43% daripada senarai pencarum di bawah umur 55 tahun, mempunyai simpanan kurang daripada RM10 ribu melalui Akaun 1. Dengan simpanan yang tidak bertambah, pihak Kerajaan lebih rela membiarkan rakyat menikmati kehidupan persaraan dengan pendapatan yang tidak lebih daripada RM41 sebulan selama dua puluh tahun yang mendatang. Sebaiknya kerajaan dahulukan dana, selamatkan simpanan rakyat," jelas kenyataan itu.
Malah menurut kenyataan itu, Belanjawan 2021 dilihat kurang fokus kepada penjanaan peluang pekerjaan yang kalis masa hadapan dan pandemik COVID-19.
"Terdapat juga kekurangan fokus kepada penjanaan peluang pekerjaan yang kalis masa depan, termasuk kalis pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi berikutnya. Keadaan ekonomi dijangka bertambah buruk menjelang 2021.
"Belanjawan yang hanya menabur janji- janji melalui hasil pendapatan dan memotong sebegitu banyak kemudahan penting yang pastinya tidak memenuhi keperluan Rakyat. Ini menjurus ke arah permasalahan yang lebih besar apabila terus dimainkan seperti kesan terhadap perang pemerdagangan global dan komitmen dalam menangani cabaran perubahan iklim," jelas kenyataan itu lagi.
Penubuhan Kaukus Reformasi Ekonomi, Sosial dan Kebajikan
Dalam perkembangan berkaitan, tiga Ahli Parlimen itu turut mengumumkan Penubuhan Kaukus Reformasi Ekonomi, Sosial dan Kebajikan.
Fungsi Kaukus itu antara lain bagi memastikan kerajaan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan dasar yang konkrit serta perincian mengenai tiga isu utama.
"Kaukus ini percaya bahawa Kerajaan pada masa ini mesti memberi tumpuan kepada kesiap-siagaan dasar yang konkrit dan terperinci mengenai isu-isu utama semasa, peluang pekerjaan yang menepati keperluan masa depan, perjanjian baharu yang hijau dan perluasan jaringan keselamatan sosial.
"Sebagai Ahli Parlimen, semestinya mewakili komponen koalisi di dalam Dewan Rakyat. Bahkan, sebagai anggota Pembangkang dalam demokrasi berparlimen, Ahli Parlimen bertanggungjawab dalam menyediakan asas sistem semak dan imbang yang secukupnya dalam mengekang keboborokan pihak kerajaan," jelas kenyataan itu.
#Nurul Izzah Anwar #Dewan Rakyat #KWSP #EPF #Permatang Pauh #Parlimen #COVID-19 #Akmal Nasir #Hassan Karim #pembangkang