KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud mengakui kadar gaji yang ditetapkan oleh majikan ketika ini tidak setimpal dengan peningkatan harga barang.

Bagaimanapun negara pada saat ini juga katanya sedang melalui fasa pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19 memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

"Bagi kita masa terutama kepada Perdana Menteri untuk memulihkan ekonomi negara ini barulah kita dapat memikirkan sama ada dapat kita tingkatkan lagi gaji ini ke paras yang lebih tinggi.

"Isu gaji ini kita sudah tingkatkan kepada RM1,500. Itu gaji minimum. Cuma memang sebab negara kita pun masih lagi sedang fasa pemulihan. Jadi ini memerlukan masa", ujar Mustapha dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya Peringkat Negeri Sabah 2022 di Dewan Menggatal pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, golongan muda di negara ini perlu memanfaatkan peluang pekerjaan yang wujud di depan mata dan tidak terlalu memilih bagi mengelakkan menganggur terlalu lama.

"Jangan terlalu memilih kerja dan cuba buat pemadanan. Padankan dengan kerja yang ada ini dan ambil dahulu, kerja dahulu. Ambil pengalaman itu supaya tidak terlalu lama menganggur.

"Pada masa yang sama juga kita cuba berkolaborasi dengan syarikat-syarikat yang ada di sekitar Sabah terutama Sepanggar ini untuk mencari apa keperluan mereka dan itu pun kita akan buat pemadanan kerja supaya ia selaras dengan (kehendak) pencari kerja", tambah Mustapha.

Untuk rekod, negara mencatatkan penurunan kadar pengangguran sehingga 3.7 peratus (611,800) pada suku ketiga tahun ini berbanding suku kedua iaitu sebanyak 3.9 peratus (642,000).

Sementara itu, Sabah mencatatkan penurunan kadar pengangguran sebanyak 0.9 peratus kepada 8.2% (174,200 orang) pada suku ketiga tahun yang sama berbanding suku pertama iaitu 9.1 peratus (188,300 orang).