BIMB Holdings Berhad mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) sebanyak RM834.44 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Ini merupakan peningkatan 2.3 peratus (RM19.05 juta) berbanding RM815.38 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan institusi kewangan itu, perolehan tahunan meningkat kepada RM3.31 bilion berbanding RM2.96 bilion sebelum ini.

Kenyataan itu menyebut unit perbankan Islamnya, Bank Islam mengekalkan momentum pertumbuhan kewangan yang teguh walaupun persekitaran ekonomi mencabar.

"Kualiti aset kekal berdaya tahan dengan nisbah pembiayaan susut nilai kasar rendah sebanyak 1.09 peratus sehingga 31 Dis 2015, lebih rendah berbanding dicatatkan sehingga 31 Dis 2014 sebanyak 1.14 peratus," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bernama melaporkan, pada suku keempat berakhir 31 Dis 2015, PBZT susut kepada RM200.26 juta berbanding RM219.85 juta dicatatkan pada suku sama sebelumnya.

Perolehan naik kepada RM884.25 juta berbanding RM761.49 juta sebelum ini.

Deposit pelanggan bank bagi tahun tersebut pula meningkat 6.12 peratus untuk mencecah RM43.6 bilion sehingga pada 31 Dis tahun lepas.

Manakala nisbah akaun simpanan akaun semasa (CASA) sebanyak 35.1 peratus berbanding nisbah CASA industri perbankan Islam sebanyak 24.7 peratus sehingga pada November 2015.

Pembiayaan bank kepada nisbah deposit kekal teguh pada 78.6 peratus.

Mengenai perniagaan insurans, BIMB berkata Takaful Malaysia Group mencatatkan PBZT sebanyak RM204.2 juta.

Peningkatan 9.4 peratus ini adalah berbanding RM186.7 juta yang dicapai pada tempoh sama pada 2014.

Katanya, keuntungan lebih tinggi didorong oleh pendapatan fi wakalah yang lebih tinggi.

Bergerak ke hadapan, dalam usaha mencapai pertumbuhan dan keuntungan pada ketika persekitaran mencabar yang berterusan, bank akan menumpukan kepada pengurusan liabiliti, terus meningkatkan kualiti asetnya dan mengekalkan kedudukan modal yang kukuh.

Bank Islam merancang untuk mengekalkan standard penajaan jaminnya untuk meningkatkan kualiti asetnya.

Bagi unit insurans, katanya Takaful Malaysia akan meneruskan tawaran nilainya dengan memberi ganjaran kepada pelanggan 15 peratus Pulangan Tunai untuk produk Takaful Am dan mewujudkan kedudukan yang kukuh dalam insurans tempatan dan arena takaful sebagai pilihan utama untuk insurans.