Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Muhammad Ibrahim sekali lagi mengulangi larangan mendagangkan ringgit di luar pesisir Malaysia.

Beliau bagaimanapun mengakui BNM hanya boleh mengambil tindakan terhadap individu atau entiti Malaysia yang berbuat demikian.

"Sebarang dagangan ringgit di luar Malaysia adalah menyalahi undang-undang.

"Tetapi kenyataan yang kami keluarkan (pada 9 Ogos) bukan ditujukan kepada entiti bukan Malaysia, kerana Bank Negara tidak mempunyai kuasa terhadap entiti asing yang meniagakan ringgit di luar Malaysia," katanya.

Julai lalu, bursa saham Singapura mula membenarkan kontrak niaga hadapan ringgit didagangkan di bursanya.

Ditanya mengapa BNM mengambil masa kira-kira dua minggu untuk mengeluarkan kenyataannya dari tempoh itu, Muhammad memberi jawapan ringkas.

"Tiada sebab," katanya sebelum bergerak ke soalan wartawan seterusnya.

Beliau bagaimanapun menambah ringgit tidak boleh dinilai hanya berdasarkan nilai dagangannya berbanding dolar Amerika.

"Bukan paras (ringgit) sahaja yang penting, apa yang penting adalah ia mencerminkan kekuatan ekonomi Malaysia dengan sebetulnya.

"Juga, apabila menilai ringgit, kita juga patut membandingkannya dengan matawang negara-negara yang berdagang dengan kita.

"Paras dagangan ringgit sentiasa dinamik, ia akan berubah dari semasa ke semasa," katanya.

Peningkatan dagangan ringgit di luar pesisir pada November tahun lalu menarik turun penilaiannya.

Ia memaksa BNM mengetatkan penguatkuasaan terhadap dagangan ringgit di luar negara.