KUALA LUMPUR: Anak syarikat tidak langsung Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC), Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd (BDNC), menerima lanjutan sembilan bulan lagi untuk kontrak Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) bernilai RM79.32 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BHIC berkata lanjutan itu bermula 1 Januari 2022 hingga 30 September 2022.

BDNC sebelum ini menerima kontrak untuk menyediakan sokongan dalam perkhidmatan untuk kapal selam kelas Perdana Menteri bagi Tentera Laut Diraja Malaysia.

"Selain daripada lanjutan tempoh kontrak dan semakan nilai kontrak, tiada perbezaan yang ketara antara isi kontrak dan pelanjutan ini.

"Sambungan kontrak tambahan ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan BHIC untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022," menurut makluman itu.

BDNC adalah syarikat usaha sama antara BHIC Defence Technologies Sdn Bhd (60 peratus), anak syarikat milik penuh BHIC, dan Naval Group (40 peratus). - DagangNews.com