KUALA LUMPUR: Syarikat kejuruteraan elektrik, BPE Engineering & Services Sdn Bhd terus mengorak langkah ke hadapan dengan menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan mampan melibatkan process heater dan general electrical maintenance services kepada sektor minyak dan gas negara. 

Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Jamelah Jamaluddin berkata, penawaran berkenaan merupakan transformasi pihaknya untuk menumpukan elemen berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selain mengoptimumkan kepakaran tempatan untuk sebarang keperluan perkhidmatan penyelenggaraan elektrik.

Katanya, ia juga sejajar dengan aspirasi global untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050.

“Syarikat juga menuju ke arah teknologi hijau, dan ingin mengembangkan lagi jaringan dalam sektor minyak dan gas kerana ia mudah berubah dan tidak menentu.

“Jadi, kita perlu lebih mampan dan menerokai pelbagai sektor yang mana dapat digunakan kepakaran syarikat. Sebagai contoh, dalam sektor insfrastruktur (internet perkara, IoT), telekomunikasi, pengangkutan dan semua sektor yang memerlukan servis kejuruteraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Pameran Minyak dan Gas Asia (OGA) 2022 bersama Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSEC) dan Persidangan Kelestarian Petrokimia (PSC), pada Selasa. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik melawat reruai BPE Engineering & Services di OGA 2022.

Dalam pada itu, tambah Jamelah, pihaknya turut bekerjasama dengan pelbagai pembuatan atau pengeluar peralatan tulen (OEM) yang mampu mempercepatkan syarikat menembusi pasaran domestik termasuk serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah Urusannya, Ir Ts Mohd Isnari Idris berkata, penawaran teknologi itu juga dilihat amat mesra, mampu menjimatkan kos serta selamat digunakan oleh pelanggan atau pengguna (end user).

“Antara teknologi yang bakal BPE memperkenalkan ialah Concept Generator, yang mana syarikat menggunakan tenaga hibrid ke atas solar dan generator diesel.

"Manakala Eudosia Remote Power Turbine menawarkan Remote Power Generation menggunakan proven ranking cycle technology dan memerlukan servis dan penyelenggaraan hanya sekali setahun, lantas ia menjimatkan kos operasi (OPEX) kepada pengguna.

"Keduanya, untuk “process electric heater”, BPE juga sedang berkolaborasi dengan Original Equipment Manufacturer (OEM) dalam pemasangan “smart sensors” melalui teknologi IoT yang memberikan maklumat operasi dalam talian data bagi tujuan penyelenggaran seperti yang dicadangkan oleh OEM bagi memanjangkan jangka hayat peralatan serta mengelakkan daripada unnecessary plant shutdown.

"BPE juga mempunyai kepakaran tempatan yang dilatih oleh OEM untuk memberi sokongan perkhidmatan selepas jualan kepada pengguna termasuk kemahiran untuk mereka bentuk, membina, menguji dan mentauliahkan Heater Control Panel di peringkat tempatan.

“Selain itu, syarikat juga sedang berkolaborasi dengan rakan kongsi dari segi penyediaan teknologi yang menggunakan IoT dan menepati revolusi industri 4.0,” ujarnya.

Untuk rekod, BPE Engineering & Services telah mengembangkan tawarannya bukan sahaja dalam produk dan perkhidmatannya, malah kecekapan mendekati kebimbangan utama pelanggan melalui pengalaman nilai tambah.

Ia turut disokong oleh penguasaan berdekad dalam disiplin kejuruteraan elektrik sejak penubuhan syarikat pada 1994.

Oil & Gas Asia 2022 | BPE Engineering & Services tawar teknologi mampan