Penyedia makanan penerbangan, Brahim's Holdings Bhd menjangka dapat mencatat pemulihan kukuh tahun ini selepas mengalami kerugian besar dalam suku ketiga berakhir 30 Sept 2015.

Pengerusi Eksekutif kumpulan, Datuk Ibrahim Ahmad berkata pemulihan dalam tahun kewangan 2016 itu diunjur tidak sepenuhnya disebabkan kerugian besar tersebut, namun masih signifikan.

Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan melawat Dewina Food Industries Sdn Bhd, pengeluar produk makanan halal Brahim's, di sini hari ini.

Brahim mencatatkan kerugian sebelum cukai RM10.14 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2015 berbanding keuntungan pracukai RM5.69 juta bagi tempoh sama pada 2014, manakala pendapatan menyusut kepada RM64.88 juta daripada RM89.69 juta sebelum ini.

Sementara itu, Ibrahim berkata syarikat melabur kira-kira RM40 juta bagi membangunkan sebuah kilang di Jordan yang beroperasi sejak setahun setengah lalu.

"Saiz kilang di Jordan adalah tiga kali lebih besar berbanding kilang kami di sini, dan keutamaannya membekalkan makanan tentera," katanya.

Mengenai perkongsian dengan SATS Ltd yang berpangkalan di Singapura, beliau berkata Brahim melihat SATS sebagai rakan kongsi strategik kerana ia beroperasi di 43 lapangan terbang di seluruh dunia.

"Mereka juga mempunyai perniagaan bukan penerbangan yang sedang kami teliti," katanya.

Katanya Brahim's juga mahu mengurangkan penggantungan kepada perniagaan penerbangan antara 50 dan 60 peratus memandangkan syarikat terlalu bergantung kepada perniagaan itu sejak sekian lama.

Pada Disember tahun lepas, Brahim's melupuskan 49 peratus pegangan dalam Brahim's Airline Catering Holdings Sdn Bhd kepad SATS pada harga RM218 juta.

Pada masa ini Brahim's menyediakan perkhidmatan kepada 38 syarikat penerbangan termasuk British Airways dan penerbangan patuh syariah pertama Malaysia yang baharu dilancarkan, Rayani Air.

"Buat masa ini pelanggan terbesar kami ialah Malaysia Airlines diikuti penerbangan tambang rendah AirAsia dan Emirates Airline yang berpangkalan di Dubai," katanya.