Bumi Armada Bhd catat kerugian sebelum cukai RM171.39 pada FY2015

Bernama
Februari 26, 2016 13:05 MYT
Bumi Armada akan mengendalikan empat projek yang dijangka beroperasi pada 2017.
Bumi Armada Bhd mencatat kerugian sebelum cukai RM171.39 juta pada tahun kewangan (FY) berakhir 31 Disember 2015 berbanding keuntungan sebelum cukai RM309.18 juta pada FY2014.
Pendapatan merosot kepada RM2.18 bilion berbanding RM2.40 bilion sebelum ini, kata syarikat kemudahan tenaga luar pesisir dan penyedia perkhidmatan antarabangsa dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif, Chan Chee Beng berkata, kemerosotan pendapatan disebabkan hasil lebih rendah daripada perniagaan kapal sokongan luar pesisir (OSV) dan pengangkutan serta pemasangan (T&I), jatuh tahun ke tahun masing-masing kepada 17.8 peratus dan 57.7 peratus.
Pendapatan untuk suku keempat juga susut kepada RM589.04 juta berbanding RM701.83 pada suku yang sama 2014 manakala kerugian sebelum cukai berjumlah RM104.01 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM32.55 juta.
"Pasaran kekal mencabar dalam segmen perkhidmatan perniagaan minyak dan gas luar pesisir, ditekan oleh pengurangan dalam penggunaan dan aktiviti sewaan dan kontrak dalam segmen OSV dan T&I," tambahnya.
#Bumi Armada