Bursa Malaysia dibuka tinggi bagi hari ketiga dipacu pengukuhan ringgit, minat terhadap sektor domestik

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan lebih tinggi pada Rabu yang juga peningkatan bagi hari ketiga berturut-turut, didorong oleh momentum pengukuhan berterusan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang dijangka menarik tumpuan peniaga terhadap sektor domestik seperti kaunter pengguna.
Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.58 mata atau 0.28 peratus kepada 1,639.41 daripada 1,634.83 semalam, selepas dibuka menokok 1.91 mata kepada 1,636.74.
Sentimen positif juga ketara di pasaran dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 186 berbanding 112, sebanyak 297 tidak berubah, 2,124 tidak diniagakan dan 10 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 215.24 juta saham bernilai RM74.42 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street mencatat prestasi bercampur-campur pada akhir urus niaga apabila dagangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) diasak tekanan semula bulan ini berikutan kebimbangan terhadap penilaian yang makin ketara dan membawa kerugian indeks Nasdaq sekitar satu peratus bagi bulan semasa.
Menilai secara menyeluruh, firma pembrokeran itu berkata sentimen optimis terhadap kemungkinan penutupan kerajaan AS akan berakhir, berkemungkinan memberi kesan limpahan positif kepada bursa tempatan.
"Bagaimanapun, potensi kenaikan sektor teknologi mungkin terhad susulan kebimbangan terhadap penilaian syarikat teknologi AS yang terus ketara.
"Kami kekal positif terhadap saham berimpak tinggi kerana pengukuhan ringgit akan mengalihkan tumpuan peniaga terhadap sektor berasaskan domestik seperti pengguna dan saham yang meraih manfaat daripada kos input lebih rendah," katanya dalam nota tinjauannya hari ini.
Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank dan CIMB masing-masing naik tiga sen kepada RM9.94 dan RM7.68, Public Bank dan Tenaga Nasional kekal tidak berubah pada RM4.30 dan RM13.38 manakala IHH Healthcare rugi empat sen kepada RM8.26.
Kaunter paling aktif menyaksikan Farmiera yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE merosot 1.5 sen kepada 23.5 sen, nakala MMAG dan Perak Transit masing-masing turun setengah sen kepada 8.5 sen dan 27 sen. Borneo Oil dan TWL pula kekal tidak berubah pada satu sen dan 2.5 sen.
Selain itu, kaunter paling untung adalah Nestle dan Fraser Neave yang masing-masing melonjak 80 sen kepada RM112.80 dan RM31.00 manakala Hong Leong Bank naik 20 sen kepada RM21.08, PJBumi meraih 17 sen kepada RM1.75 manakala MISC meningkat 15 sen kepada RM7.89.
Sebaliknya, kaunter paling rugi menyaksikan Malaysian Pacific susut 40 sen kepada RM31.00, United Plantations turun 22 sen kepada RM25.58 manakala QL Resources, Hong Leong Industries dan Panasonic masing-masing merosot 80 sen kepada RM4.30, RM15.00 dan RM7.90.
Di papan indeks pula, Indeks FBMT 100 melonjak 66.84 mata kepada 11,909.46 dan Indeks FBM Emas melonjak 71.57 mata kepada 12,156.15.
Indeks FBM Emas Syariah naik 34.18 mata kepada 11,906.55, Indeks FBM ACE menambah 11.99 mata kepada 5,087.71 dan Indeks FBM Mid 70 meraih 52.63 mata kepada 16,938.37.
Bagi sektor pula, Indeks Perladangan meningkat 7.78 mata kepada 8,184.18, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.50 mata kepada 168.33, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 78.11 mata kepada 18,522.01 manakala Indeks Tenaga susut 0.59 mata kepada 758.75.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


