KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka lebih tinggi pada pagi urus niaga Isnin, mengambil petunjuk daripada peningkatan kukuh di Wall Street.

Pada jam 9.10 pagi, indeks utama naik 1.48 mata kepada 1,419.92 berbanding penutupan Jumaat minggu lepas pada 1,418.44. Ia dibuka 2.45 mata lebih tinggi kepada 1,420.89.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 190 berbanding 116, manakala 199 kaunter tidak berubah, 1,782 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 122.71 juta unit bernilai RM50.55 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, kebimbangan mengenai kemelesetan akan terus mempengaruhi sentimen pelabur dalam tempoh terdekat berikutan kenaikan kukuh di Wall Street.

"Pelabur juga menantikan mesyuarat Bank Pusat Eropah dan data inflasi Malaysia lewat minggu ini.

"Dalam pada itu, peniaga dijangka berdagang dengan berhati-hati terutamanya untuk sektor tenaga kerana harga minyak masih tertekan disebabkan kebimbangan mengenai kemelesetan walaupun minyak Brent telah melantun semula melebihi paras US$100," katanya dalam nota hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare tidak berubah, masing-masing pada RM8.59 dan RM6.43, Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM8.12, CIMB Group menambah lima sen menjadi RM5.10 dan Public Bank susut dua sen kepada RM4.38.

Bagi saham aktif, Ecoscience International turun tiga sen kepada 27 sen, BSL Corporation naik satu sen kepada 11 sen, Top Glove Corporation menambah 1.5 sen menjadi RM1.01, Malaysian Genomics Centre peroleh dua sen kepada RM1.09 dan MQ Technology kekal pada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 19.26 mata kepada 10,067.15, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 28.65 mata kepada 10,111.00, FBM 70 lebih tinggi sebanyak 55.68 mata menjadi 12,050.69, Indeks FBMT 100 mengembang 18.44 mata kepada 9,834.19 dan FBM ACE peroleh 11.61 mata menjadi 4,571.44.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 11.85 mata kepada 16,091.54, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula pada 166.87, Indeks Tenaga meningkat 1.79 mata kepada 606.43, dan Indeks Perladangan naik 17.89 mata kepada 6,673.62.

-- BERNAMA