KUALA LUMPUR: Gambaran yang tidak begitu menggalakkan untuk prospek pengeluar sarung tangan menjejaskan pasaran apabila Top Glove dan Hartalega menyebabkan Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah harian pada Jumaat.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 12.91 mata kepada 1,488.88 daripada 1,501.79 pada Khamis.

Saham pandu pasaran dibuka rendah 0.14 mata kepada 1,501.65 dan mencecah paras tertinggi pada 1,505.41 sebelum ini.

Suasana pasaran kekal rendah sepanjang hari dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 596 berbanding 277, manakala 454 kaunter tidak berubah, 978 tidak diniagakan dan 52 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.60 bilion unit bernilai RM1.74 bilion daripada 2.73 bilion unit bernilai RM1.59 bilion pada Khamis.

Normalisasi purata harga jualan (ASP) dan permintaan berikutan pelaksanaan vaksin secara besar-besaran pada skala global telah memberi tekanan kepada pendapatan Top Glove pada suku pertama tahun kewangan 2022.

Awal hari ini, syarikat itu mengumumkan penurunan mendadak keuntungan bersih kepada RM185.72 juta daripada RM2.36 bilion dicatatkan pada suku tahun sama pada tahun sebelumnya.

Perolehan merosot kepada RM1.58 bilion daripada RM4.76 bilion sebelum ini.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran semakin lemah berikutan kesan limpahan daripada jualan besar-besaran di peringkat serantau.

Indeks ekuiti utama, iaitu Nikkei, Straits Times Index, Shanghai Composite Index, Hang Seng Index, dan Kospi, masing-masing rendah sejajar dengan prestasi Wall Street semalaman yang lemah.

Thong berkata pelabur menunggu data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan pada Jumaat yang dijangka mempengaruhi keputusan Rizab Persekutuan mengenai pelaksanaan semula rangsangan ekonomi.

"Selain itu, sebahagian pelabur memilih untuk mencatatkan keuntungan terutamanya dalam saham minyak dan gas serta teknologi dalam persekitaran pasaran minyak dan Nasdaq yang lemah," katanya kepada Bernama.

Dalam negara, Top Glove merosot 10.4 peratus atau 25 sen kepada RM2.16 dan Hartalega susut 32 sen kepada RM5.20.

CIMB dan Axiata, masing-masing berkurangan enam sen kepada RM5.18 dan RM3.78 manakala Petronas Gas dan Petronas Chemicals, masing-masing susut empat sen kepada RM16.46 dan RM8.42.

Bagaimanapun, Tenaga Nasional kekal positif, naik lima sen kepada RM9.16 dan MISC meningkat empat sen kepada RM6.56.

Daripada saham aktif, Malaysian Genomics merosot 3.5 sen kepada 78.5 sen manakala Kanger International, Sapura Energy dan Impiana Hotels, masing-masing tidak berubah pada dua sen, lima sen dan sembilan sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 92.04 mata kepada 10,859.79, Indeks FBMT 100 berkurangan 93.01 mata kepada 10,561.57 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 127.14 mata kepada 11,714.25.

FBM 70 jatuh 129.45 mata kepada 14,046.03 dan FBM ACE susut 53.76 mata kepada 6,228.32.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.03 mata kepada 193.30, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 55.80 mata kepada 15,109.33 manakala Indeks Perladangan susut 28.51 mata kepada 6,466.49.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.48 bilion saham bernilai RM1.45 bilion daripada 1.76 bilion saham bernilai RM1.40 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran naik kepada 236.09 juta unit bernilai RM33.01 juta daripada 219.15 juta unit bernilai RM43.81 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 823.75 juta saham bernilai RM261.61 juta daripada 624.22 juta saham bernilai RM144.37 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 351.25 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (383.58 juta), pembinaan (47.46 juta), teknologi (204.55 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (57.01 juta), hartanah (79.78 juta), perladangan (9.53 juta), REIT (7.13 juta), dana tertutup (22,400), tenaga (141.98 juta), penjagaan kesihatan (137.41 juta), telekomunikasi dan media (24.46 juta), pengangkutan dan logistik (16.82 juta) dan utiliti (16.37 juta).

-- BERNAMA