Bursa Malaysia jatuh ke paras bawah 1,500 perlu diberi perhatian serius

Umavathi Ramayah
Februari 24, 2020 10:59 MYT
Dr Madeline Berma berkata, kemerosotan itu merupakan indikator kepada ekonomi negara.
Kejatuhan pasaran Bursa Malaysia ke paras bawah 1,500 pada Isnin akibat pergolakan politik tempatan perlu diberi perhatian yang serius.
Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Madeline Berma berkata, kemerosotan itu merupakan indikator kepada ekonomi negara.
"Ini jelas apabila paras (bursa) pada pagi tadi jatuh, kemudian naik sedikit dan sekarang nampak gaya jatuh kembali.
"Selama ini kita biasanya mencatatkan paras lebih daripada 1,500," katanya semasa Buletin AWANI Khas, pada Isnin.
Madeline berkata, selain memberi fokus kepada isu politik, kita perlu melihat 'bread and butter' masyarakat tempatan.
"Perkara pertama yang perlu kita lihat adalah bursa dan selepas itu pihak percaturan lain yang menentukan dasar," tambahnya lagi.
Sesungguhnya kata Madeline, perubahan dasar ekoran daripada perubahan pemimpin adalah sesuatu yang lumrah dan akan pasti berlaku.
Menurutnya, istilah tunggu dan lihat sudah tidak releven lagi memandangkan Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakan jawatan sebagai Perdana Menteri secara rasmi.
"Cuma sekarang kita hanya perlu melihat siapa yang akan naik (sebagai Perdana Menteri) sama ada orang yang sama atau orang baharu," ujarnya.
#Bursa Malaysia #Dr Madeline Berma #ekonomi #Mahathir Mohamad #Mahathir Mohamad letak jawatan #Malaysia #Malaysia 2020 #Malaysia Baharu #pasaran saham jatuh