KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor penerbangan dengan menjangkakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan meraih manfaat daripada jumlah trafik yang kukuh.

Penganalisisnya, Raymond Yap berkata, dengan memansuhkan semua ujian COVID-19 untuk sebelum berlepas dan ketibaan kepada pelancong yang diberi vaksin sepenuhnya mulai 1 Mei ini, ia secara tidak langsung mengurangkan kos dan risiko kepada perjalanan antarabangsa.

"Kami melihat pengumuman terbaharu ini sebagai perkembangan positif kerana ia akan memansuhkan banyak halangan untuk orang tempatan daripada melancong ke luar negara, walaupun keperluan kuarantin ketika ketibaan ditiadakan mulai 1 April.

"Oleh itu, kami menjangkakan ini akan melonjakkan pemulihan yang lebih kukuh dalam sektor ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian pelitup muka di luar bangunan tidak lagi diwajibkan, bermula 1 Mei ini, tetapi ia digalakkan terutama di kawasan sesak.

Namun, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan apabila berada dalam bangunan, termasuk gedung beli belah dan pengangkutan awam, termasuk e-hailing

Seiring dengan pengumuman itu juga, ujian COVID-19 sebelum pelepasan dan ketibaan untuk pengembara yang sudah menerima vaksin penuh juga dimansuhkan.

Menurut Yap, kelonggaran itu juga menunjukkan perbezaan yang besar memandangkan negara-negara sekitar Malaysia sudah melonggarkan keperluan ujian COVID-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, trafik penumpang domestik MAHB telah meningkat kepada 59% pada Mac 2022 mencapai paras pada 2019, tetapi trafik antarabangsa hanya pulih kepada 9.4%.

"Bagaimanapun, kami menjangkakan, kedua-duanya akan meningkat dengan mendadak mulai April dan seterusnya dengan masing-masing telah mencatat pemulihan kepada purata 85% dan 40% pada tahap 2019, bagi FY22," jelasnya.

Ini membolehkan CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap MAHB dengan harga sasaran (TP) pada RM7.60 sesaham.

Sebaliknya, firma itu mengulangi saranan 'kurang' terhadap Capital A Bhd. dengan TP pada 19 sen sesaham. - DagangNews.com