KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang kukuh sebanyak RM1.41 bilion pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2022 daripada kerugian bersih sebanyak RM100.59 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2021.

Peningkatan keuntungan yang kukuh itu sebahagian besarnya disebabkan oleh pertumbuhan yang ketara dalam pendapatan operasi sebanyak 13.7 peratus dan tanpa perkara luar biasa pada suku ketiga 2021 yang berkaitan terutamanya dengan penurunan nilai bukan tunai dalam nilai CIMB Thai.

Perolehan meningkat kepada RM5 bilion daripada RM4.4 bilion berikutan pendapatan operasi yang lebih baik daripada pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII) serta faktor makroekonomi (MEF) dan peruntukan tindanan yang berkurangan, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Menurut CIMB Group, keuntungan sebelum cukai (PBT) perbankan pengguna pada suku ketiga 2022 naik 57.1 peratus tahun ke tahun daripada gabungan pendapatan operasi yang lebih kukuh dan peruntukan yang rendah manakala perbankan komersial mencatatkan peningkatan 156.5 peratus tahun ke tahun untuk PBT didorong oleh pendapatan operasi yang lebih kukuh dan peruntukan yang lebih rendah daripada tindanan.

Bagaimanapun, PBT perbankan borong merosot 15 peratus daripada pendapatan operasi yang rendah serta perbelanjaan dan peruntukan operasi yang tinggi.

Dalam kenyataan berasingan, institusi kewangan itu berkata jumlah pinjaman kasar meningkat sembilan peratus kepada RM406.0 bilion tahun ke tahun dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2022 didorong oleh permintaan yang kukuh dalam pasaran dan segmen utama sejajar dengan pertumbuhan ekonomi serantau selepas pandemik manakala jumlah deposit meningkat sebanyak 2.5 peratus tahun ke tahun kepada RM451.6 bilion.

Sementara itu, jumlah peruntukan berkurangan sebanyak 29.5 peratus tahun ke tahun kepada RM1.42 bilion berikutan penurunan tindanan dan peruntukan berkaitan MEF dan COVID-19 serta peruntukan asas yang rendah daripada segmen komersial dan borong kumpulan di Indonesia.

Liputan elaun kerugian pinjaman kumpulan berjumlah 99.9 peratus, dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sebanyak 3.5 peratus.

"Kami berada di landasan yang kukuh untuk melepasi sasaran tahun kewangan 2022 kami.

"Bagaimanapun, kami mengekalkan pendirian berhati-hati kami untuk tahun depan berikutan kami menjangka sedikit penurunan untuk permintaan terhadap pinjaman berdasarkan persekitaran kadar faedah yang meningkat dan persaingan yang sengit untuk deposit sejajar dengan aktiviti ekonomi," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Sehubungan itu, katanya kumpulan akan memberi tumpuan kepada mengekalkan francais deposit dengan memberi penekanan yang tinggi kepada pengekalan CASA dan membina pertumbuhan pinjaman berikutan ia memberi tumpuan kepada pengurusan risiko kredit.

CIMB berhasrat untuk melabur sebanyak RM900 juta pada tahun kewangan 2022 untuk terus meningkatkan platform digital dan mengukuhkan daya tahan teknologi.

"Ini termasuk pelaburan berkaitan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan tambahan, seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menangani penipuan, yang kami sokong sepenuhnya dan telah mula memperkenalkan secara progresif untuk terus melindungi pelanggan.

"Pada masa depan, kami akan mengekalkan tumpuan kami dan terus berpandukan pelan strategik Forward23+ jangka pertengahan kami, yang kini hampir separuh selesai, dalam merealisasikan matlamat kami untuk menjadi bank terkemuka di ASEAN," kata Abdul Rahman.

-- BERNAMA