KUALA LUMPUR: Peluang untuk menambah jumlah saham di bank koperasi dibuka kepada anggota sedia ada Co-opbank Pertama (CBP) bermula 1 Jun lalu.

Menurut pengerusinya, Datuk Baharom Embi, penambahan syer itu dibuka sehingga modal saham anggota CBP mencapai RM1 bilion.

"Tambahan modal saham ini hanya dibuka kepada anggota CBP sedia ada atau yang berdaftar sebelum 1 Jun 2022 untuk membuat penambahan syer bagi anggota individu dengan had maksimum sebanyak RM50,000 termasuk baki sedia ada.

“Sementara itu, bagi anggota koperasi pula, had maksimum ditetapkan adalah RM100,000 termasuk baki saham sedia ada.

"Manakala untuk anggota atau pelanggan yang mendaftar dan berada dalam senarai menunggu sehingga 30 April 2022, surat tawaran untuk penambahan saham atau menjadi anggota akan diedarkan CBP," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memaklumkan keanggotaan baharu masih lagi dibuka di beberapa cawangan baharu secara walk-in tetapi had modal saham yang dibenarkan kekal berjumlah RM5,000 untuk individu dan RM10,000 untuk koperasi.

Sementara itu, ujarnya, pengumuman dividen akan diumumkan dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan dan persetujuan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan anggaran dividen yang dicadangkan adalah sebanyak 6.1 peratus.

"Kita mencadangkan pembayaran dividen kepada SKM dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan daripada suruhanjaya ini.

“Kadar dividen yang dicadangkan kepada SKM adalah kompetitif walaupun berdepan dengan
ketidaktentuan ekonomi sepanjang tahun lalu," katanya.

Baharom turut memaklumkan, bagi tahun kewangan berakhir Disember 2021, CBP merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM86.156 juta berbanding RM84.15 juta pada tahun sebelumnya.

“Jumlah peningkatan keuntungan ini adalah sebanyak 2.4% ini adalah hasil daripada tawaran produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan CBP," katanya.

Bagi memastikan kelestarian CBP bergerak sebagai bank koperasi dalam persekitaran dinamik Pelan Strategik 5 tahun "Aspirasi CBP-5‟ pada 31 Mei lalu diperkenalkan menerusi lima fokus strategik utama.

Lima fokus itu termasuk kepelbagaian perniagaan dan pendapatan; peningkatan kecekapan operasi; pengukuhan pemantauan dan kawalan; alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta amalan budaya kerja berprestasi tinggi.

Selain daripada terus menjadi pemain utama di dalam pembiayaan peribadi, pelan strategik ini akan memberi penekanan kepada pembiayaan peribadi, Ar Rahnu, pembiayaan perumahan, pembiayaan sewa beli, pemfaktoran dan pembiayaan makro dalam memastikan produk CBP terus mendapat perhatian daripada masyarakat.