SEJAK dilancarkan 25 tahun lalu, Cyberjaya terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab teknologi global dan bandar pintar yang menyediakan ekosistem digital secara menyeluruh.

Lokasinya yang strategik juga dilihat memanfaatkan para pemain teknologi, pemilik hartanah, penyewa dan penduduk setempat selain turut memangkin perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan teknologi terkini dalam persekitaran yang lebih berdaya saing dan dinamik.

Menyedari potensi itu, pemaju hab teknologinya, Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) mempergiat usaha mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai bandar pintar dengan menawarkan kepelbagaian komponen ekosistem dalam usaha transformasi Cyberjaya sebagai hab teknologi global.

1. Tawar ekosistem berasaskan teknologi, tarik pemain teknologi terbaik

Pembangunan Cyberjaya kini memberi tumpuan kepada teknologi baru muncul seperti robotik, analitik data raya, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).

Ini bersesuaian dengan pengenalan Pelan Induk Cyberjaya yang baru pada tahun 2019 oleh Cyberview, yang mana pelan pembangunan di seluruh Cyberjaya diolah kembali dengan mengambil kira aspirasi baru yang didasari teknologi baru muncul mula terutamanya dalam tiga kluster teknologi yang telah dikenal pasti, iaitu bidang Mobiliti Pintar, Penjagaan Kesihatan Pintar dan Digital Kreatif.

Pelbagai komponen penting turut diberi perhatian, termasuklah pembangunan kemudahan penerbangan dron, kemudahan mobiliti berautonomi, simulator kesihatan, hab penjagaan kesihatan pintar, kemudahan e-sukan, realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR).

Bahkan yang lebih utama, Cyberjaya juga memberi fokus kepada pengaplikasian teknologi berkenaan di dalam kluster-kluster teknologi tersebut khasnya di Zon Selatan Cyberjaya melalui aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan dan Pengkomersilan (R&D&C) dan aktiviti inovasi oleh syarikat tempatan dan syarikat pelaburan asing.

Ekosistem teknologi yang tersedia dan yang akan terus dibangunkan dijangka menarik lebih banyak penyedia infrastruktur dan pemain industri dalam memastikan pembangunan yang mampan dan cekap. Keutamaan juga diberikan untuk penyediaan kemudahan menyeluruh dalam menyokong kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) serta pemain industri tempatan.

2. Miliki budaya teknologi kukuh, galak percepat inovasi

Antara alumni Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA)  meliputi syarikat yang telah menceburkan perniagaan sama ada dalam negara mahupun luar negara seperti TheLorry, Moovby dan Govicle Sdn Bhd. - Foto Cyberview

Program Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA) yang ditubuhkan pada 2013 menjadi landasan pelancar untuk syarikat pemula memacu pertumbuhan, menjalankan ujian dan mengesahkan solusi di dalam persekitaran sebenar di seluruh Cyberjaya.

Syarikat pemula ditawarkan ruang kerja tanpa sewa di Coinnov8, sebuah ruang kolaborasi dengan tajaan Cyberview sepanjang tempoh program, disamping mendapat pelbagai sokongan dan tunjuk ajar bernilai lebih RM100,000 termasuk peluang-peluang untuk ujian pembuktian konsep bersama Cyberview serta pihak-pihak berkepentingan lain di Cyberjaya.

Antara alumni CLLA meliputi syarikat yang telah berjaya bertapak di dalam negara dan turut mengembangkan potensi ke luar Malaysia seperti TheLorry, Moovby dan Govicle Sdn Bhd. Sehingga hari ini, program CLLA telah mencatatkan pelaburan terkumpul sebanyak RM158 juta dan menjana lebih RM241 juta pendapatan selain mewujudkan 550 peluang pekerjaan.

Pada masa sama, kerjasama rapat dengan dunia akademia turut dibina sebagai jambatan menghubungkan bakat dan industri.

Program pemerkasaan bakat diperkukuhkan lagi menerusi Program Latihan Industri Berstruktur (SIP) yang menyalurkan bakat kepada industri, hasil kerjasama Cyberview dengan TalentCorp untuk syarikat yang berada di Cyberjaya.

Melalui SIP, syarikat memperoleh data bakat justeru, memudahkan pengambilan calon latihan industri secara langsung melalui proses yang lebih pantas dan cekap.

Dalam pada itu, Cyberjaya juga mempunyai tujuh institusi pendidikan ternama di sekitarnya termasuk Universiti Multimedia (MMU), Universiti Limkokwing dan Universiti Cyberjaya.

3. Insentif menyokong pertumbuhan perniagaan

Penawaran insentif merangkumi insentif am dan fiskal spesifik di Cyberjaya untuk syarikat-syarikat yang layak, hasil Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai penghujung 2020 antara Cyberview dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Melalui kerjasama itu, pelbagai insentif diperkenalkan untuk menarik pelaburan ke Cyberjaya terutamanya di kalangan pelabur yang memasuki Malaysia untuk pertama kali.

Antara insentif ditawarkan untuk syarikat yang layak merupakan pelepasan cukai, sokongan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pelepasan dari sekatan kawal selia melalui National Regulatory Sandbox (NRS), bantuan dan fasilitasi menyeluruh untuk pelabur dan perniagaan menerusi Cyberjaya Investment & Services Centre (CISC).

Berikut antara insentif yang ditawarkan:
4. Membangun Teknologi di Bandar Pintar

Cyberjaya mempunyai kepadatan tinggi syarikat berasaskan teknologi terdiri daripada syarikat pemula niaga dan perbadanan multinasional. - Foto Cyberview

Kedudukan Cyberjaya sebagai Living Lab pula bertindak sebagai platform pengujian dan penghasilan produk untuk syarikat teknologi di Cyberjaya. Pelbagai solusi bandar pintar dapat diuji di persekitaran sebenar sebelum dikomersialkan.

Untuk terus memastikan teknologi baru muncul dapat diguna pakai dengan meluas, inisiatif National Regulatory Sandbox (NRS) melalui anak syarikat Cyberview, Futurise dijalankan bagi memastikan keperluan kawal selia inovasi diberi perhatian sewajarnya. Ini bagi memanfaatkan pembangunan solusi teknologi oleh syarikat tempatan dapat diketengahkan.

Antara kejayaan Futurise, termasuk mengendalikan projek Zon Pengujian Dron di Cyberjaya dan Laluan Pengujian Kenderaan Berautonomi (MyAV) yang pertama di Malaysia.

Ketika ini, Cyberjaya mempunyai kepadatan tertinggi syarikat berasaskan teknologi terdiri daripada syarikat pemula niaga hinggalah kepada perbadanan multinasional di Malaysia.

5. Penawaran Hartanah dan Ruang di Cyberjaya

Pelbagai ruangan pejabat dilengkapi dengan kemudahan canggih, 90 peratus pusat data lokasi bersama negara berada di Cyberjaya dengan keluasan tanah, teknologi fiber & bekalan jana kuasa. – Foto Cyberview

Cyberjaya menawarkan pilihan luas kepada syarikat untuk bertapak dan berkembang, meliputi ruang kecil seperti ruang kerja bersama, pusat inovasi dan ruang pejabat pelbagai saiz.

Juga turut ditawarkan ialah ketersediaan tanah komersial untuk pembangunan bagi menyokong perkembangan strategik syarikat-syarikat, sama ada untuk menubuhkan ibu pejabat atau kawasan ujian pembuktian konsep.

Setakat ini, daripada jumlah tanah pembangunan di Cyberjaya, lebih 600 ekar tanah milik Cyberview masih tersedia untuk pembangunan masa hadapan.

Lokasi Cyberjaya juga strategik berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta hanya 30 minit daripada pusat bandar Kuala Lumpur.

Capaian ketersambungan Cyberjaya juga akan menjadi lebih baik dengan siapnya Projek Transit Aliran Massa (MRT) pada 2023.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari https://www.cyberview.com.my/the-capital/cyberjaya-the-capital-of-creation/

*Artikel ini adalah kandungan berbayar.