KUALA LUMPUR: Dagangan Bursa Malaysia terus meningkat dan dibuka lebih tinggi pada hari Selasa, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang menggalakkan.

Pelabur juga dilihat memberi tumpuan kepada Indeks Harga Pengguna Amerika Syarikat (AS) dan data Indeks Harga Pengeluar AS yang bakal diumumkan selain permulaan musim pendapatan korporat.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.32 mata kepada 1,385.38 daripada 1,383.06 pada penutup Isnin.

Indeks utama dibuka rendah 3.03 mata pada 1,386.09.

Pergerakan harga di pasaran positif menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi 182 berbalas 113, manakala 255 kaunter tidak berubah, 1,700 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 201.47 juta unit bernilai RM84.97 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Purata Perindustrian Dow Jones melonjak 210 mata semalaman, manakala Nasdaq meningkat 25 mata.

Di dalam negara, beliau menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,375-1,385 dengan sektor telekomunikasi mengalami beberapa aktiviti memburu saham murah selepas mencatatkan penurunan berterusan minggu lepas.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional menambah satu sen kepada RM9.04, IHH Healthcare turun satu sen menjadi RM5.81 manakala Maybank, Public Bank dan CIMB, kesemuanya tidak berubah pada RM8.67, RM3.86 dan RM5.19.

Bagi saham aktif, Revenue Group, Jade Marvel dan Widad masing-masing naik satu sen kepada 26.5 sen, 23 sen dan 42.5 sen, EP Manufacturing memperoleh 16 sen kepada 87 sen manakala Tanco turun setengah sen kepada 51.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 20.19 mata kepada 10,218.84, Indeks FBMT 100 menambah 19.80 mata pada 9,912.50 dan Indeks FBM ACE meningkat 13.60 mata kepada 5,172.04.

Indeks FBM 70 mengukuh 40.56 mata kepada 13,504.19 dan Indeks FBM Emas Syariah mengembang 28.59 mata kepada 10,505.79.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 26.81 mata kepada 15,429.16, Indeks Perladangan meningkat 27.28 mata menjadi 6,854.98, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.05 mata kepada 158.93 manakala Indeks Tenaga turun 1.22 mata kepada 805.22.

-- BERNAMA