Dasar monetari Malaysia adalah efektif dalam memastikan paras mudah tunai yang mencukupi, kestabilan perbankan dan inflasi rendah, kata Moody's Investors Service.

Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan berkata jumlah pelabur institusi domestik dan aset asing bersih negara yang besar juga menjadi penampan kukuh daripada kejutan kewangan.

"Inflasi berada pada purata 2.6 peratus dalam dekad lepas, lebih rendah berbanding negara-negara lain yang diberi penarafan yang sama," kata agensi itu.

Walaupun hampir 40 peratus kumpulan harga negara tertakluk kepada kawalan pentadbiran, inflasi lebih stabil berbanding negara-negara lain yang mempunyai rangka kerja subsidi menyeluruh yang sama seperti India, Indonesia dan Qatar.

"Dalam tempoh sepuluh tahun lepas, Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan paras inflasi paling rendah dalam kalangan negara yang kami beri penarafan, dan situasi ini membantu menstabilkan kadar faedah domestik," kata agensi itu.

Moody's berkata pada 2015, inflasi masih terkawal pada 2.1 peratus meskipun tekanan harga daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan dan penurunan nilai kadar pertukaran.

Komitmen kerajaan kepada pengukuhan fiskal juga mencerminkan kredibiliti tinggi dan keberkesanan dasar dengan defisit fiskal turun bagi tahun keenam berturut-turut kepada 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2015, kata Moody's.

"Meskipun pembaharuan tidak mengimbangi sepenuhnya tekanan daripada harga minyak yang rendah, akaun fiskal kini berkedudukan lebih baik untuk mengharungi turun naik harga minyak," kata agensi itu.

Kawal selia dan tadbir urus pasaran Malaysia yang efektif, bersama dengan penjimatan institusi jangka panjang yang besar, juga membantu negara menjadi pasaran bon mata wang tempatan ketiga terbesar Asia, selepas Jepun dan Korea.

"Sebagai pasaran sukuk terbesar dunia, kami menganggap Malaysia sebagai mempunyai prasarana kawal selia, perakaunan dan pasaran paling canggih bagi kewangan Islam," kata agensi itu.

Persekitaran monetari negara yang stabil dan pasaran modal kukuh membolehkan pihak berkuasa melonggarkan kawalan kadar pertukaran dan membolehkan keterbukaan kewangan yang lebih besar yang menggalakkan pelaburan portfolio dan langsung asing oleh syarikat Malaysia dan penduduk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Keterbukaan kewangan Malaysia yang lebih besar juga membawa kepada aliran modal bukan penduduk yang semakin besar.

"Hasilnya, keseluruhan paras pelaburan antarabangsa yang beralih kepada defisit pada 2012, telah bertukar menjadi lebihan pada pertengahan 2015, dipacu sebahagiannya daripada aliran keluar ekuiti dan peningkatan nilai pelaburan langsung Malaysia di luar negara," kata agensi itu.