KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menyifatkan kempen Cashless Boleh mampu memupuk kesedaran dan menggalakkan tabiat e-pembayaran atau tanpa tunai dalam kalangan masyarakat dan menjadi kaedah pembayaran utama dalam negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, kempen tersebut akan membantu migrasi agensi kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke arah mencapai kutipan pembayaran 100 peratus tanpa tunai.

“Inisiatif ini adalah selaras dengan aspirasi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDigital yang menggariskan pelbagai strategi untuk memangkin transformasi Malaysia kepada sebuah ekonomi digital yang berdaya saing termasuklah transformasi kepada cashless society.

“Dengan kadar penembusan internet setiap isi rumah yang kini melebihi 90 peratus dan dijangka terus meningkat dengan pelaksanaan inisiatif MyJendela, usaha-usaha mendigitaliasi perkhidmatan kerajaan serta pelaksanaan pembayaran secara dalam talian seharusnya seiring dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak swasta.

“Agensi-agensi kerajaan perlu terus inovatif dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dengan menggunakan teknologi yang terkini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Mohd Shahar menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Kempen Cashless Boleh dan Sijil Pengiktirafan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi pencapaian 100 peratus e-Pembayaran tahun 2021 di Dewan Auditorium Kementerian Kewangan, pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan, Anis Rizana Mohd Zainudin; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud; Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat Kementerian Kewangan, Mohd Sakeri Abdul Kadir dan Pengarah Stakeholders Engagements Paynet, Firdaus Ghani.

Kempen itu melibatkan 14 agensi kerajaan dan menawarkan pelbagai hadiah kepada para pembayar yang membuat pembayaran menggunakan mana-mana kaedah pembayaran tanpa tunai melalui kad ATM MyDebit, FPX, JomPAY atau DirectDebit di agensi-agensi mengambil bahagian, yang berlangsung dari 1 November 2020 hingga 30 Jun 2021.