KUALA LUMPUR : Nilai mata wang Singapura, dolar Singapura (SGD) terus mencatatkan peningkatan dengan merekodkan paras tertinggi berbanding Ringgit Malaysia (RM) pada Isnin.

Memetik laporan Channel News Asia (CNA), SGD mencapai rekod tertinggi iaitu RM3.1964 sebelum menyusut pada kadar akhir RM3.1950.

"SGD-RM merekodkan paras tertinggi sepanjang masa pada kadar RM3.1964 pagi ini (6.48 pagi waktu tempatan) yang mana faktor besarnya disumbangkan oleh pengukuhan dolar Singapura.

"Tiada sebab yang spesifik, tetapi faktor teknikal dasar mata wang Singapura yang menyebabkan nilai ini mencecah paras tertinggi sepanjang masa," kata Ketua FX Analysis di MonFX, Simon Harvey pada Isnin.

Ujarnya lagi, sentimen yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap China turut menyumbang kepada pengukuhan SGD.

"Pertimbangan AS seperti yang disebut oleh presidennya, Joe Biden untuk melakukan pemotongan tarif terhadap barangan buatan China telah membantu menaikkan Yuan ke paras tertinggi sejak 5 Mei.

"Yuan memegang saham terbesar di Singapura turut mempengaruhi nilai SGD apabila pelabur cuba mengimbangi susut nilai dalam SGD-CNY berbanding mata wang lain.

"Ini telah memperkukuh SGD berbanding pelaburan lain termasuk USD (+0.49 peratus), RM (+0.13), HKD (+0.47) dan JPY (+0.05), seterusnya memacu kadar Dollar Nominal Effective Exchange Rate (S$NEER)," jelasnya lagi.