KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi dua pensyarahnya berjaya menghasilkan aiskrim daripada teh Misai Kucing yang cukup terkenal untuk perawatan penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes dan batu karang.

Walaupun Misai Kucing atau nama saintifiknya, Orthosiphon Stamineus lebih digemari untuk dijadikan pokok perhiasan namun dua pensyarah Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan UPM, Dr Nur ‘Aliaa Abdul Rahman dan Prof Madya Dr Azhari Samsu Baharuddin memilih untuk menghasilkan ais krim daripada tanaman itu.

Nur ‘Aliaa berkata, aiskrim dihasilkan menerusi proses bancuhan sejuk daun teh selama 20 jam dan diformulasi dengan kalori rendah kerana ia dihasilkan di bawah jenama Appetit yang memberi fokus kepada kesihatan.

"Inovasi aiskrim ini mengekalkan rasa semula jadi Misai Kucing serta khasiatnya dan kami dalam proses menghasilkan label pada produk.

"Kami akan mula memasarkan perisa Misai Kucing ini pada awal Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat. 

Aiskrim Appetit mula berada di pasaran pada November 2020 merupakan salah satu hasil inovasi teknologi daripada UPM.

Aiskrim Appetit yang sudah dikomersialkan dan dipaternkan di pasaran di bawah cawangan Appetit Village termasuk Musang King, D24, durian kampung, Cempedak, Nangka madu dan sebagainya.

Sementera itu, Azhari berkata, UPM merupakan antara universiti yang mempunyai sumber agrikultur yang mampu menghasilkan produk berasaskan herba dan beliau percaya bahawa Appetit Misai Kucing mampu bersaing di pasaran.

“Setakat ini sambutan sangat menarik dan kita ada kedai aiskrim Appetit Village yang hampir dua tahun berada di pasaran. Kita akan berusaha untuk keluarkan produk penyelidikan dan pembangunan UPM kepada pihak luar.

“Pemilihan bahan-bahan dalam aiskrim dilakukan dengan teliti bagi menghasilkan aiskrim berasaskan kesihatan yang mempunyai kualiti tekstur dan rasa yang setanding dengan jenama komersial lain di pasaran,” katanya.

Pada masa sama, Appetit Village bakal mempunyai cawangan baharu di Shah Alam, Putrajaya, Melaka, Kuantan, dan Kelantan tidak lama lagi.

Bagi peminat aiskrim boleh dapatkan Aiskrim di Appetit Village di Saujana Impian Kajang atau melayari laman Facebook Appetit Village HQ (Facebook) dan Instagram, @appetitvillage_hq untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com