KUALA LUMPUR:

Selepas mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih rendah daripada jangkaan pada 3Q21 (-4.5%), ekonomi domestik dijangka pulih kepada 4% - 6% pada 4Q21, menjadikan pertumbuhan keseluruhan untuk 2021 menjadi antara 3.5% hingga 4.0.

Kenanga Research berkata, ini sejajar dengan beberapa petunjuk utama yang mencatatkan pemulihan berterusan, seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian, PMI Pembuatan dan Jualan Perdagangan Borong dan Runcit yang terus merekodkan peningkatan.

Ujarnya, pada 1Q22, ekonomi dijangka bertambah baik secara meluas merentasi sektor dan komponen. 

"Mengikut sektor, pertumbuhan akan kekal disokong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. Sektor perkhidmatan dijangka menunjang pertumbuhan 1Q22, berkembang sebanyak 7.0% (4Q21F: 2.6%), dan menyumbang 4.0 mata kepada pertumbuhan keseluruhan 1Q22 berikutan penyambungan semula dalam kebanyakan aktiviti ekonomi dan sosial.

"Namun begitu, potensi pertumbuhan dijangka dihadkan oleh kelewatan pembukaan semula sempadan antarabangsa.


"Begitu juga, kami mengunjurkan pengembangan kukuh dalam sektor pembuatan pada 6.6% , menyumbang 1.6 mata peratusan (ppts) kepada pertumbuhan KDNK 4H21," katanya dalam nota penyelidikannya di sini pada Selasa.

Firma penganalisis itu berkata, pertumbuhan akan dipacu oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E) berikutan permintaan yang teguh dan pengembangan dalam pengeluaran dalam keadaan pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih tinggi diterima.

Namun begitu katanya, pertumbuhan dalam aktiviti perdagangan mungkin mencatatkan pengembangan pada kadar yang sederhana tetapi akan terus disokong oleh pemulihan ekonomi dalam kalangan rakan dagangan di tengah-tengah langkah rangsangan yang berterusan, manakala harga minyak global kekal tinggi secara relatif dan kitaran naik teknologi berterusan.

"Dari segi permintaan, kedua-dua nilai tambah perbelanjaan swasta dan awam diunjurkan berkembang masing-masing sebanyak 6.1% dan 2.3%, menyumbang sejumlah 5.2 ppts kepada pertumbuhan KDNK 1H22.

"Kebanyakan pertumbuhan ini akan berpunca daripada anggaran pertumbuhan 6.5% (4.0 ppts) penggunaan swasta di sebalik permintaan terpendam yang dilepaskan.

"Secara keseluruhan, permintaan agregat diunjurkan berkembang sebanyak 5.4%, menyumbang 5.2 mata kepada pertumbuhan KDNK 1H22," katanya. 

* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.