KUALA LUMPUR: Malaysia berkemungkinan besar mencatat pertumbuhan ekonomi lebih sederhana pada tahun ini dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur berkembang 4.1 peratus daripada 8.7 peratus pada 2022, kata Moody's Analytics.

Ahli Ekonominya Denise Cheok berkata prospek juga bagaimanapun masih belum jelas dan sasaran perolehan hasil cukai mungkin terjejas jika pertumbuhan KDNK lebih rendah.

"Risiko utamanya adalah ekonomi global dan boleh menjejaskan permintaan eksport Malaysia. Selain itu, trajektori ekonomi China juga tidak menentu dan ia merupakan rakan eksport kedua terbesar Malaysia serta destinasi utama bagi komoditi dan elektronik.

"Potensi pemulihan permintaan pengguna di China agak cerah, namun peralihan daripada dasar sifar COVID-19 agak tidak menentu berikutan isi rumahnya terpaksa mengharungi peningkatan jangkitan COVID-19 itu," katanya.

Cheok berkata, cabaran lain adalah unjuran pengurangan hasil syarikat minyak dan gas negara, Petronas tahun ini berikutan penyusutan harga minyak.

Moody's Analytics menganggarkan minyak mentah Brent menyederhana kepada kira-kira US$90 setong tahun ini berbanding US$114 setong pada pertengahan 2022. (US$1 = RM4.47)

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan semakan semula Belanjawan 2023 yang memperuntukkan RM388.1 bilion - RM289.1 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM99 bilion untuk pembangunan.

"Biarpun membabitkan perbelanjaan lebih besar, Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan defisit bajet kepada lima peratus KDNK daripada 5.5 peratus dalam Belanjawan 2023 sebelum ini," kata Cheok.

Beliau juga menyifatkan Belanjawan 2023 sebagai pembentangan rancangan besar untuk mengurangkan defisit fiskal sambil mengekalkan subsidi serta menurunkan cukai untuk kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Namun butiran mengenai bagaimana untuk mencapainya agak kabur. Tidak jelas bilakah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) itu akan diperkenalkan semula dan bagaimana kerajaan mahu memulakan langkah untuk mengekang peningkatan hutang," katanya.

Justeru, beliau menganggap pelaksanaan semula GST akan membantu kerajaan dalam usaha mengurangkan defisit itu.

Bagaimanapun, Anwar menerusi Belanjawan 2023 itu telah menegaskan bahawa tiada sebarang perancangan untuk melaksanakan semula cukai penggunaan secara meluas berikutan kenaikan harga bagi kategori tertentu, termasuk makanan.

Selain itu, Cheok berkata cukai pendapatan meliputi hampir 40 peratus daripada hasil kerajaan dan pengumuman cukai pendapatan individu dalam julat cukai pendapatan lebih tinggi berpendapatan tahunan melebihi RM230,000 akan dinaikkan.

Namun, katanya, ini tidak mungkin dapat menampung potongan cukai bagi kumpulan pendapatan lain.

Cukai lain yang diumumkan termasuk memperkenalkan cukai barangan mewah serta duti eksasis ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan bagi rokok elektronik dan vape.

-- BERNAMA