KUALA LUMPUR:Kerajaan menjangkakan unjuran ekonomi negara akan menguncup kepada 5.5 peratus sehingga 3.5 peratus pada tahun ini susulan impak COVID-19.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menguncup 8.3 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Bagaimanapun, tegas Ahli Parlimen Jeli itu, kesan negatif ekonomi pada tahun ini hanya bersifat sementara dan dijangka pulih pada tahun depan.

"Penunjuk ekonomi  pada bulan Ogos dan September telah menunjukkan lebih baik berbanding separuh pertama tahun 2020.

"Eksport Malaysia meningkat kepada 13.6 peratus, nilai jualan perdagangan  borong dan runcit  naik sebanyak 2.5 peratus, jualan kereta penumpang pada September naik lapan peratus dan pasaran buruh kekal mencatatkan kadar penganguran 4.7 peratus pada Julai dan September," katanya  di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam). 


Mohd Fasiah meminta Perdana Menteri menyatakan setakat manakah impak ekonomi daripada pandemik COVID-19 khususnya kepada individu, isi rumah dan syarikat perniagaan serta pelbagai sektor ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata kerajaan menjangkakan ekonomi negara mungkin akan terjejas pada Oktober dan November susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri dalam usaha mengekang gelombang ketiga COVID-19.

Bagaimanapun, tegas beliau kerajaan telah menggerakkan pelbagai inisiatif untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang terkesan akibat wabak tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 27 hari sehingga 15 Disember berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Kawalan keselamatan dan kawalan pencegahan COVID-19 semakin ketat apabila semua Ahli Parlimen termasuk pegawai, pengurusan, petugas media dan petugas am wajib menjalani ujian COVID-19.