Ekspo 2020 Dubai: 7 MoU bawa pelaburan RM1.22 bilion bakal dimeterai - MOSTI

Bernama
Oktober 11, 2021 21:00 MYT
MOSTI menjelaskan ia sekali gus menandakan hubungan kukuh yang dijalinkan Malaysia dengan rakan niaga di peringkat global.
KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang dianggarkan akan membawa nilai pelaburan keseluruhan US$295 juta (RM1.22 bilion) akan berlangsung antara Malaysia dan rakan global pada minggu kedua Ekspo 2020 Dubai, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Dalam kenyataan pada Isnin, MOSTI menjelaskan ia sekali gus menandakan hubungan kukuh yang dijalinkan Malaysia dengan rakan niaga di peringkat global.
MoU tersebut adalah antara MYEG Services Bhd dengan Akademi Teknologi Maklumat dan Komunikasi China; antara TechCapital Resources Sdn Bhd dengan Terrabit Consulting DWC-LLC serta antara TechCapital Resources Sdn Bhd dengan Shaheena Foodstuffs Trading.
MoU lain ialah antara Euro Circuit Technology Sdn Bhd dengan Modern Arab Laboratories LLC; antara Euro Circuit Technology Sdn Bhd dengan Bardawil Specialties Qatar W.L.L; antara Euro Circuit Technology Sdn Bhd dengan Al Ghad Al Zahir bagi Oilfield Services Ltd, serta GK Aqua Sdn Bhd dengan El Komy.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata program minggu kedua Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai dikhususkan untuk syarikat pemula niaga dan ia sejajar dengan strategi MOSTI yang meletakkan syarikat pemula niaga di kedudukan penggerak ekonomi.
"Pavilion Malaysia, bertemakan 'Mencipta Pemula Niaga Mampan Masa Depan', merupakan pameran ekosistem teknologi yang berkembang pesat daripada perspektif pembuat dasar, pelabur dan syarikat pemula niaga terkemuka tempatan.
"Ia juga akan memperkenalkan rancangan Malaysia sebagai hab pelaburan syarikat pemula niaga susulan peluang dan insentif yang tersedia, lokasi strategik, ekosistem tempatan yang berkembang pesat serta infrastruktur komunikasi dan pengangkutan berkelas dunia," katanya dalam kenyataan yang sama.
Agensi MOSTI, Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) akan berperanan sebagai hos bagi minggu kedua acara antarabangsa itu mulai 11 hingga 15 Okt, 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Group, Rafiza Ghazali berkata Ekspo 2020 Dubai adalah peluang bagi semua pihak dari pelbagai sudut dunia untuk mewujudkan jalinan, melalui pengalaman seni, budaya, sains, inovasi dan penciptaan yang terbaik.
"Melalui Ekspo 2020 Dubai, Cradle mencari peluang global untuk ekosistem pemula niaga tempatan," katanya.
Program di Pavilion Malaysia boleh diikuti secara langsung menerusi laman Facebook MOSTI dan Cradle.
Layari www.malaysiaexpo2020.com untuk mengetahui lebih lanjut.
-- BERNAMA
#MOSTI #Ekspo 2020 Dubai #MoU #Adham Baba