Syarikat Malaysia yang berminat dalam eksport borong telah menyaksikan jualan mereka, kehadiran dan pertanyaan daripada pembeli global meningkat dengan ketara pada ekspo eksport Malaysia yang diadakan oleh Alibaba.com baru-baru ini, pasaran borong utama bagi perdagangan global Alibaba Group.

March Expo, yang berlangsung dari 5 hingga 31 Mac, 2018, merupakan inisiatif pertama Alibaba selepas e-hab pertama Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) di luar China, Zon Perdagangan Bebas Digital Malaysia memulakan operasi pada November 2017.

Pengarah Projek B2B Malaysia eWTP, Terry Jiang berkata produk Malaysia dipandang tinggi di peringkat antarabangsa dan terus menarik perhatian jutaan pengguna antarabangsa yang mencari barangan berkualiti tinggi.

"Ekspo tersebut adalah acara yang unik bagi pemilik perniagaan kecil di Malaysia yang berminat untuk mempelajari mengakses dan berjaya dalam perdagangan global.

"Ia membuka pintu kepada peluang baharu serta memperkasakan jenama dan pengguna untuk berhubung di peringkat global melalui ekosistem Alibaba," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jumlah pertanyaan harian bagi peniaga di Malaysia meningkat sebanyak 64.48 peratus pada March Expo dan telah menyaksikan keupayaan mereka untuk menukar pengunjung kepada pembeli aktif yang naik sebanyak 47.63 peratus.

Lima industri di Malaysia dikenal pasti mempunyai potensi pertumbuhan yang besar dalam bidang perdagangan rentas sempadan, iaitu produk makanan dan minuman; produk kecantikan dan penjagaan diri; perabot; produk rumah dan taman; selain produk getah dan plastik, dan mencatat peningkatan yang memberangsangkan dari segi eksport.

Jiang berkata Malaysia merupakan pasaran luar negara yang pertama menyertai ekspo tersebut dan akan terdapat lebih banyak inisiatif seperti ini untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di luar negara bagi memanfaatkan peluang eksport.

"Matlamat kami ialah menyediakan platform dalam talian yang menyeluruh iaitu PKS di seluruh dunia boleh memainkan peranan utama dalam perdagangan rentas sempadan dan menyemarakkan 'Global Buy, Global Sell'," katanya.

-- BERNAMA